Gabung syarikat telekomunikasi luar bidang kuasa MyCC

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam cadangan penggabungan antara DiGi.Com Bhd (Digi) dan Celcom Axiata Bhd (Celcom).

Sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, segala aktiviti perkhidmatan telekomunikasi adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Walaupun Akta Persaingan 2010 terpakai kepada mana-mana aktiviti komersial di Malaysia, Akta yang sama secara jelasnya menetapkan bahawa ia tidak terpakai kepada aktiviti komersial di bawah empat sektor, termasuklah sektor telekomunikasi dan multimedia.

"MCMC mengawal selia penggabungan dalam sektor telekomunikasi dan perkara-perkara persaingan yang berkaitan melalui peruntukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Iskandar dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Justeru katanya, MyCC menyerahkan perkara berkaitan cadangan penggabungan tersebut kepada kebijaksanaan MCMC dan yakin bahawa penilaian dan penelitian yang komprehensif telah dilaksanakan oleh suruhanjaya itu sebelum mencapai keputusannya.

Menurut beliau, langkah pindaan Akta Persaingan 2010 oleh MyCC yang akan memperkenalkan rejim kawalan penggabungan di Malaysia sedang berjalan dengan lancar.

"Sekali lagi, perlu ditekankan bahawa rejim penggabungan ini akan mengecualikan antara lain sektor di bawah bidang kuasa MCMC.

"Kami berharap keputusan oleh MyCC mengenai permohonan penggabungan pada masa hadapan akan menjadi rujukan dan panduan utama kepada semua pihak berkuasa lain untuk memastikan landskap dasar yang konsisten dan teguh yang akan mewujudkan kepastian dalam pasaran,” katanya.

MCMC pada Rabu telah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom melibatkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Celcom (pemohon).

MCMC dalam kenyataannya berkata, Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa ini, dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

Pada 8 April 2021, Axiata dan Telenor Group mengumumkan sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.

Axiata Group Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.

Salinan aku janji itu boleh dimuat turun melalui laman sesawang MCMC, https://mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Undertaki ng-Public-Version.pdf. - Bernama