10 pemancing, tiga kru hilang ditemui selamat

Bot nelayan yang membawa tiga kru termasuk tekong dan 10 pemancing bertolak dari Jeti Pengkalan Kubu Kuala Besut yang dikhuatiri hilang setelah tidak pulang lebih 24 jam. - Foto Maritim Malaysia
Bot nelayan yang membawa tiga kru termasuk tekong dan 10 pemancing bertolak dari Jeti Pengkalan Kubu Kuala Besut yang dikhuatiri hilang setelah tidak pulang lebih 24 jam. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah bot nelayan yang membawa tiga kru termasuk tekong dan 10 pemancing yang dikhuatiri hilang setelah tidak kembali ke daratan lebih 24 jam berjaya ditemui pada Jumaat.

Pegawai Operasi Mencari dan Penyelamat (SAR) Maritim Terengganu, Leftenan Komander (M) Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin berkata, semua mangsa juga dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bot berkenaan pada jarak 80 batu nautika dari Kuala Terengganu berhampiran pelantar Cendor oleh kapal pembekal pada jam 1.40 petang Jumaat.

"Bot ini mengalami kerosakan enjin. Semua mangsa berusia 32 hingga 52 tahun selamat dan telah diberi bantuan makanan dan minuman.

"Semua mangsa kini dalam proses dibawa pulang dan mereka dijangka tiba di jeti Maritim Terengganu sekitar jam 10 malam ini namun ia bergantung kepada keadaan cuaca semasa," katanya selepas menyampaikan taklimat kepada keluarga mangsa di pejabat Maritim Terengganu di sini pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan sebuah bot nelayan yang membawa tiga kru termasuk tekong dan 10 pemancing yang sepatutnya pulang pada Rabu dikhuatiri hilang setelah tidak kembali ke daratan lebih 24 jam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot dengan nombor pendaftaran KNF 7040 keluar kira-kira jam 10 pagi dari Jeti Pengkalan Kubu Kuala Besut pada 25 Jun lalu.

Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 11.45 pagi pada Khamis bagi mengesan bot berkenaan.