Sila log masuk terlebih dahulu.

'Isu PATI di Sabah seperti hantu bangkit' - Maximus

Maximus
Maximus
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyifatkan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini sebagai masalah 'hantu bangkit' kerana jalan penyelesaiannya yang tidak berkesudahan.

Katanya, PBS mendesak supaya isu itu diberi perhatian dan mengajak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencari jalan yang muktamad untuk menyelesaikan perkara itu.

"Apa yang lebih mendesak bagi PBS adalah isu PATI, seperti masalah hantu bangkit. Isu ini tidak pernah hilang, hantu bangkit selalu ada di sana sini, ia berkurangan tetapi tidak pernah berkesudahan.

"PBS mengajak betul-betul GRS mencari penyelesaian yang muktamad dan dalam perbincangan kami tadi setuju untuk penubuhan Jawatankuasa Dwi-Partisan Pilihan Khas di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Dia (Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor) katakan akan bawa perkara ini ke peringkat kabinet dan selepas itu jika sempat pada persidangan Dewan untuk membentangkan penubuhan jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-36 dan 37 di Dewan Hakka, Likas di sini, pada Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu turut berkata, persetujuan Hajiji yang juga Pengerusi GRS antara respons yang dinyatakan beliau dalam perkara yang dibangkitkan PBS.

Hajiji diiringi Maximus memukul gong bagi menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-36 dan 37 di Dewan Hakka, Likas, Kota Kinabalu.
Hajiji diiringi Maximus memukul gong bagi menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-36 dan 37 di Dewan Hakka, Likas, Kota Kinabalu.

"Jadi jika itu adalah respons beliau untuk menyelesaikan isu PATI ini, saya boleh melihat ada komitmen yang baharu selain daripada sekadar Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan juga jawatankuasa tindakan susulan daripada RCI.

Artikel Berkaitan:

"Jika itu dapat ditunaikan maka kita bersyukur atas tindakan susulan yang kerajaan negeri laksanakan," katanya.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya mengalu-alukan cadangan PBS berkaitan Jawatankuasa Dwi-Partisan Pilihan Khas di DUN ditubuhkan.

"Ia sebagai susulan kepada gerak kerja yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan (Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) merangkap Timbalan Ketua Menteri).

"Saya akan bawa perkara ini untuk pertimbangan kabinet negeri. Namun prasyaratnya semua pihak perlu jujur dan ikhlas untuk mencari solusi segera kepada isu legasi ini dan bertindak demi kepentingan jangka panjang negeri," katanya.