Najib nafi dakwaan minta Anwar gugurkan kes mahkamah

 Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau pernah meminta Ketua Pembangkang itu menggugurkan kes mahkamah sekiranya mahu disokong menjadi Perdana Menteri.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pekan itu turut menegaskan beliau sama sekali tidak pernah meminta mana-mana pihak untuk menggugurkan kesnya di mahkamah melalui pengaruh politik.

“Langsung tak benar apa Nuar (Anwar) kata. Saya tak pernah minta sesiapa untuk gugurkan kes saya melalui pengaruh politik. Saya adalah orang parti dan saya akan sentiasa taat kepada keputusan parti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Pada Khamis, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendedahkan, Najib pernah memberi surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong beliau menjadi Perdana Menteri, namun dengan syarat kes mahkamah mensabitkan bekas Perdana Menteri itu tidak diteruskan.

Bagaimanapun, beliau enggan menuruti kehendak Najib dan membayangkan ia sebagai punca beliau gagal mendapat sokongan mencukupi untuk diperkenan menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut Najib dalam hantarannya itu juga melahirkan kecurigaannya terhadap dakwaan Anwar yang mana memberitahu beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, jika Anwar mempunyai sokongan majoriti, sudah tentu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik beliau memegang jawatan tersebut.

“Tapi saya pelik. Sekiranya apa yang Anwar kata adalah benar bahawa dia ada sokongan 120 ahli Parlimen, kenapa pula Istana Negara tidak lantik dia jadi PM?

“Dan kenapa dia buktikan sokongan ini melalui undian dalam Parlimen, termasuk dengan cara menggagalkan undian Bajet 2021 ketika itu?” soalnya.