Kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, selesai perselisihan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Umat Islam dalam kalangan Keluarga Malaysia diingatkan untuk kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan ketika berhadapan perselisihan faham, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika, dan bibit-bibit perpecahan boleh ditangani sekiranya umat Islam kembali kepada ajaran paling asas dengan berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah.

"Mukjizat al-Quran secara keseluruhan menyerlahkan semangat kesatuan dan antara falsafah kesatuan yang kerajaan pilih ialah Keluarga Malaysia yang bertepatan dengan ajaran dari al-Quran dan sunnah Rasulullah,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam Syeikh Dr. Muhammad Abdul Karim Al-Issa.

Persidangan julung kali itu disertai delegasi serta tokoh agama dari 17 negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di India, yang disifatkannya sebagai tindakan provokasi sehingga menggugat keharmonian masyarakat berlainan agama di negara berkenaan.

Ismail Sabri berkata, insiden itu mendapat bantahan bukan sahaja daripada umat Islam di India, tetapi juga masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia.

Tegas Perdana Menteri, tindakan menghina Rasulullah SAW merupakan perkara amat sensitif dan menjadi kewajipan seluruh masyarakat Islam bertindak balas, namun ia perlu dilakukan mengikut kerangka tuntutan agama.

"Ini adalah untuk mengelakkan kita terperangkap dengan mainan pihak tertentu yang ingin mencetuskan permusuhan antara penganut pelbagai agama," katanya.

Perdana Menteri turut mengecam kezaliman rejim Zionis Israel yang berterusan menindas dan membunuh rakyat Palestin dengan kejam, tanpa adanya sebarang usaha menghalang dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Menurut Ismail Sabri, ketika lawatannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini, beliau telah membangkitkan isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dan meminta kezaliman itu dihentikan melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Bernama