PRU15: Mahu Dzulkefly pertahan kerusi Parlimen Kuala Selangor

Sebahagian penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada Dzulkefly sebagai calon PRU15 pada sidang media di Kampung Assam Jawa di sini pada Khamis.
Sebahagian penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada Dzulkefly sebagai calon PRU15 pada sidang media di Kampung Assam Jawa di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kuala Selangor hanya menghantar nama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai calon untuk terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Amanah Kawasan Kuala Selangor, Nagmudin Hussain berkata, cadangan nama itu diputuskan seluruh jawatankuasa Amanah kawasan berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan Dzulkefly dapat terus memberi khidmat bakti kepada rakyat di Parlimen itu sekiranya memenangi PRU15.

"Kita tidak meletakkan nama lain selain Dzulkefly dan kita berharap pucuk pimpinan mempertimbangkan cadangan ini untuk terus memastikan kerusi Parlimen Kuala Selangor dipertahankan," katanya pada sidang akhbar menyokong Dzulkefly sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Selangor di Kampung Assam Jawa di sini pada Khamis.

Nagmudin berkata, sokongan itu berasas memandangkan terdapat 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyokong kepimpinan bekas Menteri Kesihatan itu untuk terus menerajui Parlimen Kuala Selangor.

Katanya, tiada istilah parti itu ketandusan pemimpin muda untuk diketengahkan, sebaliknya 'aura' kepimpinan Dzulkefly diperlukan untuk bersaing dengan parti lawan.

"Pada PRU15 ini kita masih perlukan khidmat Dzulkefly kerana beliau masih bertenaga, sihat dan cerdas untuk terus berkhidmat.

"Beliau (Dzulkefly) turut menguasai disiplin ilmu seperti agama, politik, ekonomi dan kesihatan selain tulisan dan cetusan beliau juga sering menjadi rujukan masyarakat," ujarnya.

Malah, katanya, sebagai pemimpin, Dzulkefly turut disenangi dan dihormati kawan dan lawan kerana prinsip beliau yang cintakan perdamaian, ukhuwah dan perpaduan.

Katanya, sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU15 nanti, Dzulkefly antara pemimpin penting untuk melakukan reformasi seperti yang dibuktikan sewaktu menjadi menteri kabinet.

"Beliau seorang pemimpin yang disegani kerana semasa menjawat jawatan selaku Menteri Kesihatan banyak menyelesaikan projek terbengkalai, memperkenalkan inisiatif skim insurans percuma, pelantikan doktor baharu dan pelbagai inisiatif lain," jelasnya.

Sinar Harian pada 23 Mei lalu melaporkan, Dzulkefly bersedia memberi laluan kepada calon muka baharu untuk bertanding pada PRU15.

Dzulkefly berkata, beliau berhasrat demikian memandangkan sudah berkhidmat selama dua penggal sebagai ahli Parlimen Kuala Selangor iaitu selepas PRU12 dan PRU14.