Sila log masuk terlebih dahulu.

Ahmad Zahid ditegur jangan anggap mahkamah kedai kopi

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan bagi prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, mula hilang sabar dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak menjawab soalan dengan khusus.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran turut mengingatkan bekas Timbalan Perdana Menteri supaya tidak menganggap mahkamah sebagai kedai kopi.

Ketika soal balas di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Raja Rozela mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana menjawab dengan ringkas selepas menyentuh isu akaun simpanan tetap Lewis & Co dengan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (saksi pendakwaan ke-90).

Bagaimanapun, Ahmad Zahid membalas ucapan itu dengan berkata terima kasih kepada anda juga.

Ini menyebabkan pendakwa raya itu meluahkan rasa tidak puas hati dan berpesan agar ahli politik itu berhati-hati serta menjaga tingkah laku.

Raja Rozela: Adakah Datuk Seri setuju bahawa Mejar Mazlina tidak boleh sentuh akaun simpanan tetap Lewis & Co.

Ahmad Zahid: Setuju tetapi...

Raja Rozela: Datuk Seri, saya minta sangat-sangat, tolonglah fokus, kalau tidak sampai malam kita di sini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid: Setuju.

Raja Rozela: Terima kasih banyak.

Ahmad Zahid: Terima kasih kepada anda juga.

Raja Rozela: Hati-hati Datuk Seri. Datuk Seri ada di mahkamah, bukan di kedai kopi, atau majlis tertinggi (UMNO), saya ingatkan Datuk Seri, bahawa saya ialah pegawai mahkamah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut ditanya mengenai keputusan Yayasan Akalbudi (YAB) untuk membuat pelaburan RM10 juta dalam syarikat membekal arang batu di Indonesia.

Raja Rozela berkata, tiada perbincangan atau mesyuarat direkodkan dalam resolusi sehingga membolehkan wang itu digunakan untuk tujuan tersebut.

Ahmad Zahid berkata, sebelum resolusi berhubung pelaburan itu disediakan, beliau mengadakan perbincangan dengan dua pemegang amanah YAB mengenai pelaburan berkenaan.

“Memang ada perbicangan, begitu juga mesyuarat, jadi apa yang diperkatakan adalah disebabkan kesilapan setiausaha syarikat,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaran bela diri bersambung jam 2.30 petang.