Tuduhan guna dana sayap parti tidak berasas: Mas Ermieyati

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan kenyataan bahawa dirinya telah menggunakan dana sayap parti untuk kepentingan peribadi adalah satu kenyataan tidak benar.

Menurutnya, ia memandangkan dana yang dimaksudkan telah diagihkan seperti yang ditetapkan oleh parti melalui Ketua Puteri Negeri-Negeri dan Ketua Puteri Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia ketika itu bagi menjalankan program dan aktiviti serta tujuan persediaan dan gerak kerja menghadapi pilihan raya.

Ini selepas namanya bersama dua ahli Parlimen lain dipetik dalam keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Saya keluar UMNO secara rasmi pada 1 Julai 2018, selepas memikirkan saya hanya mampu berkhidmat kepada rakyat Masjid Tanah dengan lebih baik sekiranya saya bersama dengan kerajaan semasa bukan sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kenyataan tersebut adalah dakwaan tidak berasas yang secara tidak langsung mendatangkan persepsi buruk di mata masyarakat dan pengundi-pengundi di kawasannya.

Jelas beliau, tuduhan sama juga telah dijawab sebelum ini iaitu ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Melaka tempoh hari, selain dalam satu kes yang telah ditarik balik oleh pucuk pimpinan parti UMNO.

"Namun begitu, ia dibuat di dalam kandang saksi semasa memberikan keterangan bersumpah di dalam Mahkamah.

"Justeru saya perlu mengkaji dengan lebih teliti jika perkara ini perlu ditangani dengan lebih serius dan tegas selepas daripada ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa tiga ahli Parlimen (UMNO) lompat parti kerana takut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).