Kerja pembersihan berkala bukan di bawah MPTI

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerja pembersihan secara berkala di tapak pelanggaran kereta api dengan gajah di Sungai Kerawai dekat Teluk Intan tidak boleh dilaksanakan di bawah Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

Yang Dipertua MPTI, Ismail Ibrahim berkata, perkara itu kerana tapak peringatan yang merekodkan peristiwa bersejarah pada 1894 terbabit bukan milik kerajaan sebaliknya di bawah Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Menurutnya, kerja pembersihan dan gotong-royong yang dsertai MPTI sebelum ini lebih kepada tanggungjawab sosial (CSR) yang digerakkan secara bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk.

"Kawasan itu adalah milik perbadanan. Oleh sebab itu, pembersihan berkala tidak dapat dilaksanakan di bawah MPTI kerana dari segi peraturannya, bukan aset pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Gotong-royong yang kita lakukan beberapa kali selama ini adalah CSR untuk lahirkan rasa kebersamaan dan tanggungjawab supaya semua pihak dapat mainkan peranan menjaga kawasan itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, tapak memorial itu diakui boleh dijadikan lokasi tarikan pelancong kerana wujudnya pembinaan landasan kereta api dan nilai sejarah yang berlaku lebih 120 tahun dahulu.

Bagaimanapun katanya, kekangan dihadapi dari aspek pembangunan memandangkan laluan utama ke tapak itu perlu melalui taman perumahan yang akan menyukarkan akses keluar masuk.

"Kawasan itu kita akui boleh jadi tarikan kerana itu MPTI membantu mempromosikannya sebagai lokasi pelancongan dan wajib dikunjungi di Teluk Intan," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, tapak memorial yang dibina sebagai memperingati peritiwa serangan gajah hingga mengakibatkan kerosakan dan kematian itu kini terbiar dan dipenuhi semak.

Tinjauan mendapati, laluan masuk sejauh hampir 70 meter ke tapak memorial dipenuhi dengan tumbuhan dan pokok hutan.

Malah, sebahagian binaan memorial berkenaan turut diancam hakisan tanah antaranya disebabkan faktor cuaca dan pembangunan sekeliling.