Bapa sepupu budak mangsa dadah dijel tiga tahun

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Selasa.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Bapa sepupu yang menyebabkan seorang seorang kanak-kanak lembam kritikal akibat kandungan dadah dalam badan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM3,000 dan khidmat masyarakat selama 180 jam oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Hukuman diputuskan oleh Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas tertuduh, Mohd Shahrizuan Alias, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun sembilan bulan itu didakwa mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada sesuatu yang berbahaya terhadap tubuh badan iaitu dadah berbahaya jenis metamphetamine dan morfin sehingga menyebabkan mangsa mengalami drug toxicity.

Kesalahan dilakukan di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Mahligai, Dabong, Kuala Krai pada jam 3 petang, 18 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama apabila disabitkan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada 19 Jun lalu, pihak Hospital Gua Musang menerima pesakit kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa oleh ibunya untuk rawatan.

Ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis methamphetamine dan morfin serta dipercayai terlebih dos hingga kritikal.

Sehari sebelum itu, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu dibawa keluar oleh tertuduh untuk pergi mandi sungai.

Mangsa diletakkan di dalam kereta bersendirian kerana dilihat mengantuk sementara tertuduh turun semula ke sungai untuk mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan.

Mangsa dipercayai meminum air mengandungi dadah milik tertuduh yang diletakkan di dalam kereta itu kerana mendapati botol sudah kosong.

Tertuduh ditangkap pada jam10 malam, 19 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan memohon hukumannya diringankan kerana perlu menyara keluarga.

Wan Nurul Hanini bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang setimpal terhadap tertuduh kerana kecuaian terhadap kanak-kanak di bawah umur dan OKU tersebut.

“Mangsa yang masih kecil tidak dapat membezakan air yang mengandungi dadah kerana usia muda selain memerlukan pemerhatian serta tunjuk ajar.

“Tertuduh tidak sepatutnya cuai hingga menyebabkan mangsa kritikal hingga memerlukan bantuan oksigen,” katanya.

Dalam kejadian lalu, ibunya menyedari kanak-kanak itu berada dalam keadaan lemah dengan muka bertukar kebiruan pada jam 5 pagi lalu dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan.