Reman bapa sepupu budak tertelan dadah disambung

Reman terhadap bapa sepupu kepada seorang kanak-kanak sindrom Down yang dipercayai tertelan dadah disambung lima hari lagi bermula Ahad.
Reman terhadap bapa sepupu kepada seorang kanak-kanak sindrom Down yang dipercayai tertelan dadah disambung lima hari lagi bermula Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Perintah reman terhadap bapa sepupu kepada seorang kanak-kanak sindrom Down yang dipercayai tertelan methamphetamine disambung lima hari lagi bermula Ahad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Situasi terkini kanak-kanak berusia empat tahun itu sudah stabil namun perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Mangsa kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Ahad.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut akan dirujuk kepada pakar psikologi untuk mengetahui bagaimana kandungan dadah itu boleh berada dalam tubuh badannya.

Katanya, walaupun kanak-kanak itu tidak boleh bertutur, polis percaya pakar mampu melakukan sesuatu untuk mengenal pasti punca sebenar.

Muhamad Zaki berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dadah jenis methampethamine dikesan di dalam badannya.

Susulan itu seorang buruh yang juga bapa sepupu mangsa berusia berusia 32 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Suspek yang memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah direman selama tujuh hari sehingga 26 Jun.