Mayat budak lemas ditemui tersangkut pada pukat

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas mandi bersama tiga rakannya berhampiran jeti Pantai Bersih, Bagan Ajam di sini ditemui terapung pada pagi Selasa.

Mayat, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11, ditemui tersangkut pada pukat oleh nelayan berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang kira-kira jam 9.15 pagi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seberang Perai Utara berkata, sebaik menerima laporan penemuan berkenaan sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian bagi mengambil mayat kanak-kanak berkenaan.

"Mayat kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan terapung di kedudukan 3.7 meter dari pesisiran Pantai Bersih.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Nelayan Bagan Ajam oleh bot APM dan diserahkan kepada anggota polis Butterworth untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Jurucakap berkenaan berkata, pengecaman mayat telah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan bermula jam 7.30 pagi itu ditamatkan sekitar jam 9.45 pagi.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi berhampiran Jeti Pantai Bersih di sini pada petang Isnin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kanak-kanak dikenali Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah dikatakan mandi bersama tiga lagi rakannya sebelum dia dilaporkan lemas.