16 maut serangan peluru berpandu Rusia di bandar Ukraine

Sebuah pusat beli-belah menjadi sasaran serangan tentera Rusia di Kremenchuk pada Isnin. - Foto Facebook/Zelenskyy
Sebuah pusat beli-belah menjadi sasaran serangan tentera Rusia di Kremenchuk pada Isnin. - Foto Facebook/Zelenskyy
A
A
A

KIEV - Angka kematian akibat serangan peluru berpandu Rusia ke atas pusat beli-belah di pusat bandar Kremenchuk meningkat kepada 16 orang dan 59 lagi cedera, kata ketua perkhidmatan kecemasan Ukraine pada awal Selasa.

"Setakat ini, kami mengetahui 16 maut dan 59 cedera, 25 daripadanya dimasukkan ke hospital. Maklumat sedang dikemas kini," kata Sergiy Kruk di Telegram.

Beliau berkata, tugas utama ialah kerja-kerja menyelamat, mengalihkan serpihan dan memadam kebakaran di pusat beli-belah itu.

"Kerja-kerja akan diteruskan sepanjang masa. Saya ingin menegaskan sekali lagi, jangan abaikan amaran udara!" ujarnya.

Sebelum ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, lebih 1,000 orang awam berada di pusat beli-belah itu apabila peluru berpandu tersebut mengenai bandar berkenaan yang mempunyai populasi sebelum perang seramai 220,000 orang. - Agensi