Sambut baik saranan Finas

Malaysia mampu menjadi hab lokasi penggambaran filem antarabangsa kerana kelebihannya sebagai negara hutan hujan tropika dan memiliki keindahan panorama pantai.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Malaysia mampu menjadi hab lokasi penggambaran filem antarabangsa kerana kelebihannya sebagai negara hutan hujan tropika dan memiliki keindahan panorama pantai.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

MALAYSIA mampu menjadi hab lokasi penggambaran filem antarabangsa kerana kelebihannya sebagai negara hutan hujan tropika dan memiliki keindahan panorama pantai.

Tambahan pula, Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik, lokasi yang menarik daripada bandar moden sehingga ke bandar Warisan Dunia UNESCO.

Berdasarkan kelebihan itu, maka tidak hairanlah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhasrat menjadikan destinasi menarik di negara ini sebagai lokasi wajib bagi produser filem dan drama antarabangsa menghasilkan penerbitan mereka.

Langkah ini sekali gus dapat mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Perlu diakui, tidak ramai menyedari kewujudan Malaysia di Asia Tenggara berbanding Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim dalam laporan media baru-baru ini berkata, kesemua destinasi akan dipromosi menerusi kerjasama perbadanan itu dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ujarnya, dengan promosi lebih giat, beliau yakin lebih ramai produser luar akan datang untuk membuat penggambaran di negara ini.

Beliau berkata, keunikan Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak perlu ditonjolkan sebagai tarikan seterusnya menjana pendapatan negara.

Pun begitu, kempen program tawaran rebat tunai 30 peratus melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan tambahan sehingga lima peratus melalui 'cultural test' perlu ditingkatkan lagi kerana masih ramai pihak yang perlu tahu mengenai Malaysia dan apa yang boleh ditawarkan dari segi budaya, makanan, cuaca, lokasi dan lain-lain lagi.

Melalui FIMI, ekonomi negara dapat ditingkatkan apabila penggambaran dibuat di Malaysia kerana setiap perbelanjaan dilakukan di negara ini merupakan pendapatan kepada rakyat tempatan.

Apa pun, penulis tidak sabar untuk melihat sekuel filem aksi Italian Job iaitu Brazilian Job.

Awal tahun ini, penerbit dan pelakon filem itu, Mark Walhberg menyuarakan hasratnya untuk membuat penggambaran sekuel filem itu di Malaysia.

Walhberg berkata, dia memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran kerana faktor keindahan dan tarikan pelancongan di negara ini.

Menurutnya, Malaysia adalah tempat yang cantik dan penggambaran Brazilian Job akan menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.