Bagnaia kukuhkan kedudukan setelah muncul juara GP Assen

Bagnaia bersama trofi yang dimenanginya selepas muncul juara GP Assen, Belanda pada Isnin. - Foto Reuters
Bagnaia bersama trofi yang dimenanginya selepas muncul juara GP Assen, Belanda pada Isnin. - Foto Reuters
A
A
A

PELUMBA Ducati, Francesco Bagnaia mengukuhkan kedudukan di tangga keempat dalam siri Kejuaraan Dunia MotoGP 2022 apabila memenangi Grand Prix (GP) Assen, Belanda pada Isnin.

Bagaimanapun kejayaan Bagnaia itu turut dibantu dengan insiden nahas yang menimpa juara dunia yang juga pendahulu dalam siri kejuaraan dunia ketika ini, Fabio Quartararo yang menyebabkan pelumba Perancis itu tidak dapat menamatkan perlumbaan.

“Ini merupakan kemenangan ketiga saya bagi musim ini dan ia cukup berbaloi setelah saya gagal menamatkan dua perlumbaan sebelum ini.

“Bagi saya, perlumbaan kali ini ternyata agak sukar kerana kesemua pelumba dilihat begitu bersemangat dan menjadikannya (perlumbaan) begitu kompetitif.

“Mujur saya berjaya menempuhi segala kesukaran berkenaan dan melintasi garisan penamat bagi merekodkan kejayaan ketiga saya musim ini,” katanya.

Aksi Bagnaia pada perlumbaan GP Assen, Belanda. - Foto Ducati
Aksi Bagnaia pada perlumbaan GP Assen, Belanda. - Foto Ducati

Untuk rekod Bagnaia mencatatkan 40 minit 25.205 saat bagi memenangi perlumbaan berkenaan dengan meninggalkan rakan sepasukan, Marco Bezzecchi di tempat kedua dan pelumba Sepanyol, Maverick Vinales di tempat ketiga.

Malang bagi Quartararo yang terjatuh pada selekoh kelima dan sekali lagi terjatuh pada selekoh ke-13 dan sekali gus gagal meneruskan kejayaannya setelah muncul juara pada GP Belanda, 19 Jun lalu.

Insiden berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Quartararo selaku pendahulu siri kejuaraan dunia dengan mengumpul 172 mata ketika ini.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, Bagnaia mengakui dirinya terlalu gembira dan berharap kejayaan berkenaan bakal berterusan selepas ini.

“Masih banyak perlumbaan yang perlu saya lalui selepas ini.

“Namun, saya tetap berharap supaya saya mampu mengekalkan momentum kemenangan ini bagi mencatatkan lebih banyak kejayaan,” katanya.