Tengok wayang 'Mat Kilau' tak haram: Pemuda Pas

Hantaran di laman Facebook rasmi Pemuda Pas pada Isnin.
Hantaran di laman Facebook rasmi Pemuda Pas pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menonton filem Mat Kilau di sebuah pawagam di ibu negara baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi warga net selain menyifatkan parti itu hipokrit.

Diketahui umum bahawa sebelum ini Pemuda Pas bertegas tidak menyokong pembukaan semula pawagam di Kelantan bagi membendung gejala sosial dari berleluasa di negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Pemuda Pas pada Isnin, pentadbir halaman dengan nama 'Zack' dilihat mempertahankan tindakan Ahmad Fadhli dengan memberi beberapa penerangan mengenai adab menonton wayang yang dibenarkan Islam.

"Tengok wayang bukan haram terus. Kalau cerita ditayangkan itu seru kepada kebaikan, ajak orang kenal sejarah, ajak cintakan negara, itu tak haram.

"Kalau cerita ditayangkan itu pelakonnya semua tutup aurat, tengok wayang jaga batas syarak, itu tak haram," menurut kenyataan itu.

Zack turut menjelaskan pendirian Pemuda Pas yang menyatakan panggung wayang tetap dikategorikan haram sekiranya tidak menepati syariat Islam.

"Tengok wayang haram kalau duduk berdua-duaan dengan bukan mahram, sebelah-sebelah, tengok wayang cerita cintan-cintun, ajak kepada kemaksiatan dan tiada nilai pengajaran.

"Tengok wayang sampai lupa solat, masuk waktu solat pun masih di pawagam, itu haram," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu 'Zack' turut menjelaskan Pemuda Pas membantah pembukaan pawagam di Kelantan bagi menjaga kesucian agama Islam.

"Betul, kita tidak setuju buka panggung wayang dibuka dekat Kelantan selagi panggung wayang itu tak selesaikan bab-bab yang kita sebut tadi, bab yang bawa kepada haram tengok wayang.

"Kalau panggung wayang boleh asingkan tempat duduk lelaki, perempuan dan keluarga, boleh 'set' tiada tayangan semasa waktu solat, boleh pastikan cerita yang ditayang betul-betul patuh syariah, tak ada masalah. Kita pun setuju.

"Tengok (di) Terengganu. Ada panggung wayang. Dekat sana semua panggung wayang diasingkan tempat duduk lelaki, perempuan dan keluarga. Dekat sana tiada cerita ditayangkan semasa waktu solat, ada Pemuda Pas bantah? Kita raikan lagi," katanya.

Sementara itu menjawab dakwaan warga net yang mempersoalkan tempat duduk ahli Pemuda Pas ketika menonton filem berkenaan, Zack menjelaskan, mereka tidak bercampur antara lelaki dan wanita.

"Kami beli 20 'seat'. Semua lelaki. Tak ada siapa duduk sebelah perempuan," jelasnya.