Lelaki warga emas cedera ditanduk lembu

Video tular memaparkan seorang lelaki cuba menambat lembu di tiang elektrik. (Tangkap layar rakaman video yang tular dimedia sosial memaparkan seekor lembu terlepas di sekitar Kawasan MRR2 menghala Sungai Buloh.)
Video tular memaparkan seorang lelaki cuba menambat lembu di tiang elektrik. (Tangkap layar rakaman video yang tular dimedia sosial memaparkan seekor lembu terlepas di sekitar Kawasan MRR2 menghala Sungai Buloh.)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas cedera ditanduk seekor lembu di hadapan rumahnya di Bandar Menjalara, Kepong di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak perempuan mangsa pada jam 11.25 pagi Sabtu.

"Dalam kejadian pada jam 10.15 pagi, mangsa berusia 81 tahun dikatakan berdiri di hadapan pagar rumah sebelum terlihat seekor lembu di taman perumahan itu.

"Tiba-tiba lembu tersebut menuju ke arah mangsa dan menanduk perutnya sehingga menyebabkan warga emas itu terjatuh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Eng Lai berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami retak tulang belakang dan sakit pada belakang bahu.

"Mangsa kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan pihak polis mendapati, terdapat satu video tular di media sosial berkaitan kejadian lembu yang terlepas di kawasan berhampiran Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Sungai Buloh.

"Kelindan sebuah lori yang dirakamkan dalam video tular itu bukan pemilik lembu tersebut, sebaliknya dia hanya menolong untuk menangkap dan menambat lembu tersebut pada tiang elektrik di tepi MRR2.

"Bagaimanapun, lembu tersebut bertindak agresif, ia terlepas dan menuju ke arah Sungai Buloh," katanya.

Eng Lai berkata, hasil siasatan lanjut mendapati satu laporan polis dibuat oleh pengerusi sebuah masjid di Kampung Selayang Lama pada Jumaat.

"Lembu hasil sedekah orang ramai untuk tujuan ibadah korban itu dikatakan terlepas ketika proses menambatnya dilakukan di kawasan masjid," katanya.

Eng Lai berkata, pihaknya percaya haiwan yang terlepas itu adalah lembu sama menyebabkan kecederaan kepada lelaki warga emas tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian melepaskan haiwan sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada nyawa orang awam.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nor Hafizullah Norahim di talian 017-2232031 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya.