KDA FC mampu lakar keputusan positif

 Aidil Sharin Sahak
Aidil Sharin Sahak
A
A
A

WALAUPUN tewas pada aksi pertama Kumpulan G, Piala AFC menentang Bali United pada Jumaat, pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak optimis pasukannya mampu untuk melakar keputusan positif ketika turun pada perlawanan kedua bertemu wakil Filipina Kaya-Iloilo pada Isnin.

Menurut Aidil, meskipun mengakui bukanlah tugas mudah menentang pasukan pernah beraksi di peringkat di Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu, namun dia yakin kemampuan pemain terutamanya tonggak importnya yang bakal ditaruhkan dalam misi memburu tiga mata penting.

“Mereka (Kaya) sebelum ini pernah beraksi selama dua musim di saingan ACL, sudah tentu pengalaman yang dimiliki mereka tidak boleh dipandang rendah.

“Pasukan itu juga memiliki beberapa pemain hebat seperti Jesse Curran dan penyerang, Jovic Bedic yang beraksi dengan konsisten bersama Kaya.

“Bagaimanapun saya yakin pasukan KDA mampu untuk bersaing bersama mereka (Kaya) bagi mendapat tiga mata berharga daripada perlawanan ini,” katanya pada sidang media pra perlawanan menentang Kaya di Bali Indonesia.

Untuk rekod, KDA FC kini berada di tangga tercorot kumpulan G selepas tewas 2-0 kepada Bali United manakala Kaya berada di kedudukan ketiga selepas kalah 2-1 kepada wakil Kemboja, Visakha.

Dalam pada itu, Aidil ketika ditanya berkenaan pemain yang akan diturunkan pada perlawanan tersebut berkata, beliau tidak menolak mungkin melakukan sedikit perubahan pada barisan kesebelasan utama skuad Sang Kenari sambil memberitahu dua tonggak importnya cergas untuk diturunkan.

“Saya percaya dengan dua pemain import (Mahmoud Nayef Ahmad Mardi dan Ronald Ngah) serta Akmal Zahir cergas untuk diturunkan.

“Saya rasa ketiga-tiga mereka telah menyesuaikan diri dengan baik, walaupun tidak 100 peratus cergas. Namun saya percaya mereka memerlukan masa untuk menampilkan prestasi yang sebenar,” katanya.