KUSKOP galak koperasi sertai federasi koperasi

Muslimin (tujuh dari kiri) bersama penerima anugerah koperasi pada majlis berkenaan.
Muslimin (tujuh dari kiri) bersama penerima anugerah koperasi pada majlis berkenaan.
A
A
A

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan koperasi yang menjalankan perniagaan dalam sektor pertanian dan perladangan menyertai federasi organisasi itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya berkata, ia bertujuan untuk pengumpulan modal, kepakaran dan sumber lain bagi membolehkan koperasi terlibat memberikan hasil yang berskala besar.

"Konsep federasi ini maksudnya dua atau tiga koperasi yang menjalankan perniagaan sama contohnya penternakan lembu digabungkan supaya boleh mengeluarkan input lebih besar.

"Ia seterusnya dapat memperkukuhkan daya saing sesebuah koperasi berlandaskan perinsip ke enam iaitu 'bekerjasama di antara koperasi'," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 peringkat Negeri Sembilan sempena sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di sini pada Ahad.

Ujarnya, koperasi hari ini menumpukan sektor pertanian dan perladangan, usaha itu sebagai langkah menangani masalah krisis makanan negara pada masa hadapan

"Setakat ini lebih 50 koperasi seluruh negara terlibat dengan pertanian dan perladangan.

"Malam tadi (Sabtu) Tan Sri Noh (Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar) dah beritahu, keutamaan tanpa karenah diberikan kepada koperasi (fokus dalam sektor pertanian dan penternakan) yang membuat pembiayaan sama ada daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat ataupun mana-mana bank di bawah koperasi," katanya.

Jelasnya, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) sudah mengenal pasti kawasan tanah seluas 4,000 hektar di seluruh negara untuk mengusahakan tanaman jagung bijirin skala besar.

Beliau berkata, setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin dan menampung 20 peratus daripada keperluan import yang berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan tidak membebankan rakyat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, SKM Negeri Sembilan memberikan Bantuan Pembangunan Koperasi berjumlah RM405,000 kepada lapan koperasi.

"Bantuan ini terdiri daripada pembangunan perniagaan (Transfer), bantuan Putra dan bantuan Insentif Jualan Harga Patut (JHP)," katanya.