Perak kejutkan Kelantan United

Antara aksi Kelantan United menentang Perak FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu. FOTO: Kelantan United Football Club
Antara aksi Kelantan United menentang Perak FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu. FOTO: Kelantan United Football Club
A
A
A

KELAB tercorot Liga Premier, Perak FC kembali menghidupkan peluang untuk kekal dalam saingan liga musim depan apabila mengejutkan Kelantan United 1-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Gol penghujung babak perlawanan Luciano Guaychochea pada minit ke-87 sudah cukup membolehkan skuad kendalian Yusri Che Lah itu melakar kemenangan ketiga liga selepas mengharungi 10 perlawanan.

Kemenangan di laman lawan itu sekali gus menyaksikan The Bos Gaurus berjaya menebus pemotongan sembilan mata yang dikenakan badan bebas, First Instance Body (FIB) sebelum ini berikutan kegagalan membayar tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Sementara itu, Ahmad Zafri Zakaria muncul wira UiTM FC apabila membantu The Lions melakar kemenangan 3-0 ke atas Terengganu FC (TFC) II dalam aksi di Stadium UiTM, Shah Alam.

Jaringan hatrik Ahmad Zafri pada minit ke-26', 38' dan 54' melebarkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan pasukan yang kini menduduki tangga kelapan liga dengan sembilan mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Negeri, Kuching, perlawanan yang terhenti seketika akibat hujan lebat menyaksikan tuan rumah, Kuching City FC asuhan Irfan Bakti Abu Salim meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengatasi PDRM FC 2-1.

Abu Kamara muncul wira The Cats apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-93 apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan pembukaan skuad tuan rumah menerusi Wan Faiz Wan Sulaiman pada minit kelapan dan gol penyamaan G Durrkeswaran pada minit ke-70.