All Star Championship bukti kehebatan sukan digital

Abd. Rahman (gambar kecil) dan petarung yang akan menghangatkan All Star Championship 2026 di Kuala Lumpur Sabtu ini.
Abd. Rahman (gambar kecil) dan petarung yang akan menghangatkan All Star Championship 2026 di Kuala Lumpur Sabtu ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - All Star Championship 2026 (ASC26) membuktikan kedudukannya sebagai platform tinju pempengaruh dalam landskap sukan digital menerusi dua penganjuran terdahulu di Kuala Lumpur dan Dubai, sekali gus membuka ruang kepada pencipta kandungan menguji kemampuan di gelanggang.

Kejohanan yang bakal berlangsung di Flamingo Hotel, Kuala Lumpur, pada 17 Oktober ini akan menyaksikan 34 pempengaruh dari sembilan negara berentap dalam 17 perlawanan.

Pengasas All Star Championship 2026, Datuk Abd. Rahman Soltan berkata, kritikan segelintir pihak di media sosial merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan dalam usaha membangunkan platform sukan digital berkenaan.

Menurutnya, penganjuran di Kuala Lumpur tahun lalu dan Dubai membuktikan kemampuan pihaknya membawa konsep tinju pempengaruh ke peringkat antarabangsa.

“Kalau nak persoal kredibiliti atau apa-apa, itu hak masing-masing. Kita tidak boleh lari daripada haters dalam media sosial. Apa yang penting, apa yang kita buat, kita tunaikan.

“Malah, penyertaan, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia juga sudah cukup membuktikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas komen seorang pempengaruh wanita di Instagram yang sebelum ini mempersoalkan kredibiliti dan ketelusan kejohanan berkenaan.

Mengulas dakwaan itu, Abd. Rahman berkata, setiap individu berhak menyuarakan pandangan masing-masing, namun beliau yakin penganjuran terdahulu sudah membuktikan keupayaan pihaknya.

“Mereka mungkin cemburu dan terkilan sebab tidak dapat menyertai ASC26. Nak masuk kejohanan tapi tidak layak, jadi hati manusia kan, macam-macam. Cuma seperti saya cakap, kita sudah buktikan kredibiliti,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penyertaan pempengaruh dari pelbagai negara turut menjadi kekuatan kejohanan itu, dengan jumlah keseluruhan pengikut mereka dianggarkan melebihi 20 juta di seluruh dunia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan populariti di media sosial sahaja tidak mencukupi kerana peserta yang sudah menandatangani kontrak perlu menjalani latihan antara dua hingga tiga kali seminggu bagi memastikan mereka bersedia untuk bertanding.

Beliau mengambil contoh juara edisi terdahulu, Imranul Affendy, yang mempunyai latar belakang sebagai penari dan pelakon, namun memberikan komitmen serius terhadap latihan selepas membuat keputusan untuk bertinju.

“Apabila mereka sudah membuat keputusan untuk bertarung, mereka akan berlatih bersungguh-sungguh. Kita membimbing dan memantau mereka kerana setiap peserta perlu diberikan peluang serta dorongan,” katanya.

Abd. Rahman berkata, persiapan ASC26 sudah bermula kira-kira tiga bulan lalu bagi memberikan masa mencukupi kepada peserta untuk menjalani latihan dan membuat persediaan sebelum turun ke gelanggang.

Kemasukan penonton ke kejohanan itu adalah percuma, manakala siaran eksklusif menerusi platform penstriman Tonton boleh diakses peminat di seluruh dunia pada harga RM10 melalui kaedah bayar setiap tontonan (PPV).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!