Penarikan diri Zii Jia berdasar penilaian prestasi kesihatan

Tian Ker (depan, kanan) merasmikan program GO-Kart Legacy di Berjaya Megamall di Kuantan pada Sabtu.
Tian Ker (depan, kanan) merasmikan program GO-Kart Legacy di Berjaya Megamall di Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

PENARIKAN diri pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 bakal bermula 28 Julai depan dibuat berdasarkan penilaian prestasi kesihatannya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, keputusan itu dibuat oleh Zii Jia dan pengurusan pasukannya selepas membuat penilaian secara menyeluruh tahap kecederaan dialaminya atas nasihat pakar perubatan yang merawatnya.

Menurutnya, pasukan Zii Jia juga sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkannya menjalani tempoh pemulihan lebih lama.

"Saya difahamkan Zii Jia memerlukan kira-kira enam minggu untuk pulih sepenuhnya daripada masalah itu dan menyegerakannya untuk menyertai Sukan Komanwel mungkin akan memburukkan lagi kecederaan itu.

"Jika Zii Jia dihantar ke Sukan Komanwel, mungkin satu tindakan yang berisiko kerana kecederaan itu mungkin akan menimbulkan ancaman jangka panjang.

"Justeru, kami tidak mahu menetapkan matlamat jangka pendek di mana Zii Jia mungkin tidak berada pada tahap terbaiknya dan beraksi buruk dalam kedua-dua Sukan Komanwel dan pertemuan dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program GO-Kart Legacy di Berjaya Megamall di sini pada Sabtu.

Litar go-kart bernilai kira-kira RM800,000 kendalian Speed Track Legacy itu adalah pertama seumpamanya di pantai timur.

Khamis lalu, Zii Jia mengumumkan tidak akan bersama kontinjen negara di Sukan Komanwel yang dijadualkan bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Tian Ker memaklumkan sudah menghubungi Zii Jia pada Jumaat dan simpati dengan situasi yang dihadapinya.

Bagaimanapun jelasnya, keputusan itu perlu dihormati oleh semua pihak.

"Ini adalah perkara yang kita perlu hormati kerana dia masih mengalami kecederaan.

“Kita faham ramai rakyat Malaysia kecewa dengan keputusan Zii Jia kerana dia adalah salah seorang atlet berpotensi menyumbangkan pingat emas, tapi kita kena hormat keputusan itu dan kita masih ada atlet lain yang mewakili negara di sana.

"Jadi mereka juga berpeluang memberikan pingat emas untuk kontinjen negara,’’ katanya.