Kepa mahu lebih banyak minit permainan

Kepa
Kepa
A
A
A

PENJAGA gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga akan mengadakan perbincangan dengan pengendali The Blues berkenaan masa depannya bersama kelab London itu.

Menurut Kepa, meskipun dia mengakui berasa gembira bersama Chelsea ketika ini, namun dia masih memerlukan minit permainan yang banyak selain tidak mahu dianggap hanya sekadar penjaga gol kedua The Blues.

“Saya tidak sabar untuk memulakan kempen musim bersama Chelsea dan mahukan lebih banyak minit permainan berbanding musim lalu.

“Saya berasakan saya mampu untuk beraksi dengan lebih baik sekiranya diturunkan lebih kerap.

“Justeru, saya akan berbincang berkenaan perkara ini bersama ketua jurulatih Thomas Tuchel,” katanya.

Untuk rekod, Kepa merupakan penjaga gol termahal didunia apabila dibeli oleh Chelsea dengan tanda harga sebanyak £71.6m (RM390 juta) selama tujuh tahun yang dilihat sebagai pengganti terbaik Thibaut Courtois.

Bagaimanapun sejak ketibaan Edouard Mendy di Stamford Bridge, bekas penjaga gol Rennes itu kerap diturunkan dalam kesebelasan utama dengan berjaya merekodkan 30 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris berbanding Kepa.