'Tidak munasabah naikkan elaun Pengerusi FGV' - Young Syefura

Young Syefura
Young Syefura
A
A
A

BENTONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyifatkan kenaikan elaun Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) sebagai tidak munasabah.

Beliau turut mempersoalkan di mana moral Felda dan kerajaan dalam meluluskan kenaikan elaun Pengerusi FGV ketika peneroka dan rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup.

"Di kala rakyat kini terhimpit dengan masalah kos kehidupan yang semakin meningkat, kenaikan elaun ini adalah tidak munasabah dan tidak patut.

"Ini kerana walaupun prestasi FGV semakin pulih dari masalah yang dihadapi sebelum ini dan mula mencatatkan keuntungan, ia bukanlah satu tanda aras yang membenarkan kenaikan elaun pengerusi dan para ahli lembaga pengarah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Young Syefura berkata, melalui dokumen yang beliau peroleh berkaitan dengan keputusan mesyuarat agung FGV, pemegang-pemegang saham FGV telah meluluskan usul-usul berkaitan dengan pindaan menaikkan kadar elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarah seramai enam orang.

"Melalui pindaan itu, elaun bulanan yang diterima oleh pengerusi kini berjumlah RM480,000 setahun atau RM40,000 sebulan manakala untuk ahli lembaga pengarah yang lain, elaun bulanan yang diterima berjumlah RM150,000 setahun atau RM12,500 sebulan.

"Jumlah keseluruhan elaun yang telah diluluskan bagi Ahli Lembaga Pengarah FGV adalah sebanyak RM1.38 juta, tidak termasuk elaun-elaun jawatankuasa yang lain," katanya.

Menurutnya, jumlah kenaikan itu menjadikan elaun yang diterima oleh Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FGV lebih tinggi daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.

"Elaun bulanan pengerusi bagi GLC besar seperti Tenaga Nasional adalah RM30,000, Telekom Malaysia (RM30,000) dan Petronas Chemical Group (RM24,000).

"Macam mana FGV boleh naikkan elaun pengerusi mereka daripada RM25,000 kepada RM40,000 sebulan?" soalnya.

Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan melalui Felda yang memegang kepentingan saham terbesar FGV boleh membenarkan kenaikan seperti itu tatkala rakyat kini termasuklah peneroka berhadapan dengan masalah kos kehidupan yang tinggi.

Ujarnya, peneroka juga terpaksa menanggung kos-kos lain seperti kos racun dan kos baja serta kos menyelenggara yang kini semakin meningkat.

"Mesyuarat agung FGV sepatutnya berkisar mengenai kebajikan peneroka sebagai pemegang taruh terbesar FGV.

"Mereka sepatutnya menerima faedah yang tinggi hasil daripada keuntungan yang dicatatkan oleh FGV, bukan ahli lembaga pengarah ataupun pengerusi," jelasnya.

Tambahnya, FGV sepatutnya peka dengan keadaan semasa dan bukan sibuk memenuhkan kantung poket pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya apabila syarikat mula membuat keuntungan.

"Banyak lagi faedah dan perkara yang boleh diberikan kepada peneroka untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka menggunakan wang kenaikan elaun itu," katanya.