Tottenham perlu kurangkan bebanan Kane

Kane dan Heung-min antara dua pencetak gol utama Tottenham musim lalu.
Kane dan Heung-min antara dua pencetak gol utama Tottenham musim lalu.
A
A
A

KELAB London, Tottenham Hotspur perlu menandatangani seorang lagi penyerang sebelum mengharungi jadual padat domestik dan Eropah musim baharu.

Malah menurut bekas penjaga gol Tottenham Hotspur, Paul Robinson, skuad Antonio Conte itu tidak mempunyai pilihan selain menambah pemain serangan bagi mengurangkan bebanan kebergantungan terhadap Harry Kane.

“Ya, saya ada kebimbangan mengenai Kane, dan Tottenham sebenarnya perlu menandatangani penyerang lain supaya tonggak Tottenham dan England ini boleh digilirkan setiap kali apabila tiba masa untuk dia berehat.

“Saya telah menyatakan perkara ini berulang kali setiap jendela perpindahan pemain, Tottenham perlu menandatangani pilihan sandaran kukuh, namun sebaliknya situasi masih sama.

“Ya, Son Heung-min telah melakukan tugasan yang hebat apabila bermain bersama Kane di sana namun masih tetap memerlukan tambahan,” kata Robinson.

Kane memulakan 36 daripada 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu untuk Tottenham, dengan jumlah keseluruhan 49 penampilan untuk kelabnya dalam semua kejuaraan.

Sementara itu, dia juga bermain dalam 19 perlawanan untuk England sejak permulaan Euro 2020 tahun lalu.

Untuk rekod, Kane menghabiskan lebih separuh daripada musim 2021/22 bermain di ‘zon kritikal’ yang dikatakan berbahaya untuk kesihatan dan karier jangka panjangnya.

Seorang pemain dianggap berada dalam ‘zon kritikal’ apabila membuat dua penampilan sekurang-kurangnya 45 minit, dalam tempoh lima hari perlawanan satu sama lain.

Untuk rekod, skuad Conte dijangka berdepan kepadatan jadual lebih getir berbanding musim lalu selepas meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara yang menyaksikan The Lilywhites perlu melakukan persiapan lebih rapi untuk kekal kompetitif saingan domestik dan Eropah.

Tambah Robinson lagi, gaya permainan aggresif diterapkan Conte seperti dijelmakan pada musim lalu juga menuntut pertambahan pemain di posisi penyudah pasukan tersebut.

“Gaya taktikal Antonio Conte sangat tegar sama seperti ketika di Serie A sebelum ini dan itu pastinya tidak akan berubah. Pengurus perlu ada pilihan lain. Jelas sekali mereka memerlukan seseorang di kawasan itu.

“Sejujurnya terdapat keperluan mendesak dalam masa terdekat untuk mendapatkan Harry Kane nombor dua tidak seperti sebelum ini dalam meningkatkan prestasi pasukan. Tottenham perlu mencari pemain serba boleh yang boleh bermain lebar atau sebaliknya.

“Jadual padat melibatkan para Tottenham tidak hanya pada saingan domestik dan Eropah, tetapi juga mewakili negara masing-masing di Piala Dunia Qatar 2022 selain Piala Negara-Negara Eropah dan kelayakan sebagainya,” katanya.