Felcra labur RM3.5 juta bangunkan kilang baharu untuk jenama Suri

A
A
A

Mahdzir (empat dari kiri) menyempurnakan gimik Perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd di Changkat Jong, pada Khamis.
Mahdzir (empat dari kiri) menyempurnakan gimik Perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd di Changkat Jong, pada Khamis.

TELUK INTAN - Felcra Berhad melalui anak syarikatnya Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) membangunkan kilang baharu memproses santan sawit jenama Suri dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM3.5 juta untuk memperkasakan lagi industri santan sawit.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kilang pengeluaran secara komersial itu mampu menghasilkan 60 tan metrik santan sawit sebulan.

Beliau berkata, pengeluaran santan sawit oleh Felcra ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna selain mempunyai khasiat tersendiri.

“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, Felcra mengambil keputusan membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama.

"Ini merupakan salah satu usaha Felcra perkenalkan santan kelapa sawit untuk dipasarkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd di Changkat Jong, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria; Pengerusi FPESB, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif FPESB, Wan Ramlan Wan Abdullah.

Mahdzir (kiri) turut meluangkan masa melihat proses penyediaan santan sawit di kilang tersebut selepas perasmian.
Mahdzir (kiri) turut meluangkan masa melihat proses penyediaan santan sawit di kilang tersebut selepas perasmian.

Mahdzir berkata, pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian daripada inisiatif Felcra Berhad dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.

Jelasnya, sebanyak RM3 juta geran disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman FPESB.

"Sebelum ini kita mempunyai kilang memproses santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012. Pembinaan kilang baharu ini dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan beroperasi secara automatik.

"Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran, sekali gus mampu memenuhi permintaan santan sawit yang meningkat melebihi 100 peratus,” katanya.

Kilang yang berkeluasan 4,000 kaki persegi itu telah beroperasi sepenuhnya menggunakan sistem automatik pada Selasa dengan keupayaan memproses 60 metrik tan santan sawit per bulan atau 2.8 metrik tan sehari.

Beliau turut meluangkan masa melihat proses penyediaan santan sawit, melawat kiosk dan menyaksikan demonstrasi masakan menggunakan santan sawit.

FPESB berterima kasih kepada KPLB

Wan Ramlan (kiri) dan Abdul Shukur menunjukkan produk santan sawit jenama Suri keluaran FPESB.
Wan Ramlan (kiri) dan Abdul Shukur menunjukkan produk santan sawit jenama Suri keluaran FPESB.

KUALA LUMPUR - FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi penyaluran peruntukan geran hingga kilang baharu santan sawit jenama Suri kini telah mula beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Ramlan Wan Abdullah berkata, dengan adanya kilang baharu itu pihaknya menyasarkan peningkatan pengeluaran santan sawit kepada kadar 60 metrik tan sebulan.

"Sebelum ini kilang sedia ada yang beroperasi sejak Oktober 2012 hanya mampu mengeluarkan 30 metrik tan santan sawit sebulan.

"Selepas tujuh tahun di pasaran, permintaan yang diterima terhadap santan sawit itu cukup tinggi. Jadi, pada 2019 kami bersetuju untuk bina satu lagi kilang," katanya pada wawancara eksklusif di Pejabat FPESB, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Wan Ramlan berkata, FPESB ketika ini sedang giat melakukan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi santan sawit Suri agar ia boleh dijual dalam kotak 'tetra pack' dan disimpan dalam suhu bilik sebagaimana produk santan kelapa di pasaran sekarang.

Produk santan sawit jenama Suri keluaran FPESB mula berada di pasaran sejak 2012.
Produk santan sawit jenama Suri keluaran FPESB mula berada di pasaran sejak 2012.

Jelas beliau, setakat ini pembungkusan santan Suri masih di dalam plastik dan perlu disimpan di dalam 'chiller' atau peti penyejuk.

"Ini antara sebab kita perlukan bantuan geran daripada kerajaan untuk projek R&D ini yang dianggar melibatkan kos besar kira-kira RM20 juta termasuk untuk pemasangan mesin dan pemasaran.

"Melalui bantuan geran, kita sasarkan projek R&D ini dapat disiapkan paling cepat akhir tahun ini manakala tahun depan produk santan sawit Suri boleh dikeluarkan dalam bentuk kotak," ujarnya.

Katanya, usaha yang dilakukan itu bertujuan meningkatkan pendapatan FPESB seiring dengan hasrat mereka untuk menjadi anak syarikat utama yang menyumbang pendapatan kepada FELCRA Berhad.

Rancang pasarkan ke luar negara

KUALA LUMPUR - Produk santan sawit jenama Suri yang ditambah baik ke dalam bentuk kotak dirancang untuk dipasarkan ke luar negara.

Pengerusi FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB), Datuk Abdul Shukur Idrus menegaskan, produk itu boleh di eksport ke pasaran antarabangsa kerana kandungannya ‘tanpa’ kolesterol diyakini akan menjadi pilihan utama pengguna yang mencari produk sihat.

ABDUL SHUKUR
ABDUL SHUKUR

"Di samping mengeluarkan produk untuk menjana keuntungan kepada syarikat, kita mahu berkhidmat kepada masyarakat dengan melahirkan usahawan santan sawit yang disasarkan kepada generasi ketiga FELCRA.

"Untuk permulaan, seramai 100 usahawan bakal dilahirkan dengan cara memberi bantuan permulaan bernilai RM20,000 merangkumi kiosk jualan, bahan mentah dan modal pusingan.

"Kita mahu lahirkan usahawan berasaskan produk hiliran santan sawit sepertimana usahawan cendol, kuih muih, nasi lemak dan lauk pauk," jelasnya.

Beliau berkata, rancangan itu akan dibincangkan dengan pihak pengurusan FPESB, FELCRA Berhad dan menteri termasuk dari segi pemberian bantuan modal dengan kadar faedah yang rendah kepada usahawan.

Jelasnya, jika pihak KPLB meluluskan dan bersedia memberi geran, sasaran untuk melahirkan 100 usahawan santan sawit bakal dicapai hujung tahun ini.

Selain itu katanya, hasil kajian yang dilakukan oleh FPESB telah berjaya mencipta peralatan seperti kipas, lampu rumah dan lampu jalan tanpa menggunakan elektrik sebaliknya menggunakan tenaga solar.

Ujar beliau, produk itu akan turut dipamerkan sempena majlis perasmian pembukaan kilang baharu ini dan ia akan dipasarkan dalam masa terdekat.

"Kita juga dalam proses membina kilang baja hasil daripada bahan buangan sawit kerana daripada kajian yang dibuat, ia merupakan baja organik terbaik.

"Ia juga akan dibina di Kompleks Industri Bidor dengan jangkaan pelaburan sebanyak RM5 juta. Saya harap projek ini mendapat bantuan geran daripada kerajaan," tambahnya.