Akses jalur lebar diharap bertambah baik dengan pelancaran satelit

Pelancaran satelit Measat-3d awal pagi Khamis. - Foto Measat
Pelancaran satelit Measat-3d awal pagi Khamis. - Foto Measat
A
A
A

MALAYSIA pada Khamis mencatatkan sejarah baharu apabila Satelit Measat-3d berjaya dilancarkan ke orbit pada jam 5.50 pagi.

Pelancaran satelit kelapan dan tercanggih ini rata-ratanya ditunggu-tunggu oleh orang ramai kerana manfaat yang akan diperolehi.

Dengan pelancaran satelit ini, ramai yang mengharapkan akses jalur lebar dalam negara ini akan bertambah baik.

Selain daripada itu, orang ramai juga mengharapkan jurang digital di antara kawasan luar bandar dan bandar dapat dirapatkan melalui keupayaan Satelit Measat -3d.

Dengan akses yang lebih baik kepada internet, rakyat akan dapat memperoleh manfaat sosioekonomi seperti menyertai aktiviti e-dagang dan pembelajaran digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini menyatakan Satelit Measat-3d penting kepada negara dalam mencapai liputan internet 100 peratus sebelum 2025 dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar.


Ismail Sabri diberi penerangan ketika menyaksikan pelancaran satelit Measat-3d dari Kourou, French Guiana di WTC pada Khamis.
Ismail Sabri diberi penerangan ketika menyaksikan pelancaran satelit Measat-3d dari Kourou, French Guiana di WTC pada Khamis.

Beliau berkata, perkhidmatan satelit itu boleh digunakan dalam masa beberapa bulan lagi.

"Jadi pelancaran (satelit Measat-3d) hari ini ada dua aspek yang penting, yang pertama memungkinkan kita mencapai liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025.

"Keduanya, kita boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, meningkatkan perkhidmatan kelajuan tinggi sepertimana yang kita gunakan rangkaian gentian optik yang sedang kita laksanakan di kawasan-kawasan yang maju,” katanya.

Annuar berkata, pelancaran itu merupakan satu perkembangan bersejarah dan sangat penting kepada usaha kerajaan menjayakan sepenuhnya dan melengkapkan pelaksanaan program Jendela dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Beliau berkata, negara mempunyai jangkaan liputan internet sehingga 97 peratus di bawah program Jendela 1 yang menghubungkan kawasan berpenduduk dengan menggunakan kaedah jaringan gentian optik, manakala baki tiga peratus merupakan kawasan pedalaman.

No Image Caption