TSG, TSC dijangka dominasi jersi kebangsaan 2022

Abu Samah
Abu Samah
A
A
A

PEREBUTAN jersi kebangsaan acara lepas beramai-ramai elit lelaki Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022 di Dataran Amanjaya, Manong, Perak Sabtu ini pasti terjurus kepada persaingan pelumba dua pasukan benua ternama negara – Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC).

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab percaya pemilihan `kuda pelumba’ yang sesuai dan percaturan menjadi ketika berlumba bakal memperisakan persaingan TSG-TSC menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki sejauh 165.2 kilometer.

Beliau juga menjangkakan barisan pelumba yang bakal terpilih menerusi disiplin lebuh raya termasuk acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan SEA 2023 di Kemboja bakal terbentuk berdasarkan kejayaan di Manong Sabtu ini.

“Apa yang saya nampak persaingan perebutan jersi kebangsaan acara lepas beramai elit lelaki akan dikuasai sama ada pelumba TSG atau Sapura. Berdasarkan prestasi semasa saya jangkakan sukar untuk pelumba negeri mencabar penguasaan TSG atau Sapura,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM pada Khamis.

Bagaimanapun, Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) menegaskan pelumba TSG lebih berazam untuk menebus kehampaan musim 2021 apabila tonggak TSC, Mohammad Saari Amri Abd Rasim muncul juara kebangsaan acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

“Namun, saya tak tolak kemungkinan ada pelumba negeri tertentu termasuk Elmi Jumari daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) boleh melakukan kejutan. Banyak kejutan boleh terjadi dalam perlumbaan berbasikal,” katanya.

Beliau juga menegaskan Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022 di Manong bakal melakar sejarah unik apabila lebih 500 pelumba sudah pun mengesahkan penyertaan.

“Seingat saya belum pernah lebih 500 pelumba sertai Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan sebelum ini. Ini satu petanda yang sangat positif kepada perkembangan sukan berbasikal negara,” katanya.

Abu Samah turut menyatakan kesediaan PKBM untuk membuka pintu kepada pelumba Singapura menyertai Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022 di Manong sebagaimana berlaku kepada Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan yang diadakan di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.

“Setakat hari ini PKBM belum lagi terima sebarang borang penyertaan pelumba Singapura. Bagaimanapun, kami sedia luluskan pendaftaran pelumba Singapura sekiranya ada,” katanya.

Menyentuh tentang pemilihan pelumba kebangsaan ke Sukan SEA 2023, Abu Samah menegaskan beliau akan meminta Ketua Jurulatih, Datuk Ng Joo Ngan memantau prestasi pelumba tertentu sepanjang Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022.

“Datuk Joo Ngan telah lakukan tugas yang sangat cemerlang ketika memastikan Malaysia meraih pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam. Kami sentiasa percaya kepada kewibawaan Datuk Joo Ngan,” katanya.