Persiaran Institut Seksyen 1 ditukar ke Persiaran Tun Arshad Ayub

Persiaran Institut Seksyen 1 ditukar ke Persiaran Tun Arshad Ayub sebagai mengenang jasa Allahyarham sebagai tokoh pendidikan. Gambar kecil: Tun Arshad
Persiaran Institut Seksyen 1 ditukar ke Persiaran Tun Arshad Ayub sebagai mengenang jasa Allahyarham sebagai tokoh pendidikan. Gambar kecil: Tun Arshad
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan nama Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub.

Menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office pada Khamis, nama baharu itu diambil bersempena nama Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) pertama yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut kenyataan itu, penukaran nama persiaran itu adalah bagi mengenang jasa Allahyarham yang merupakan tokoh pendidikan negara yang dihormati dan disegani.

"Allahyarham banyak berjasa dalam memperkasakan sistem pengajian tinggi di negara ini khususnya pembangunan UiTM, " menurut kenyataan pada Khamis.

Kata kenyataan itu, titah baginda telah diluluskan dan akan dikuatkuasa serta-merta oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Tambah kenyataan itu, persiaran itu merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer bermula Bulatan Bistari Seksyen 2 (di hadapan pintu masuk utama UiTM) hingga ke persimpangan lampu isyarat (berhampiran Universiti Selangor) Seksyen 7.

Tun Arshad meninggal dunia 14 Jun lalu di usia 93 tahun ketika menerima rawatan di sebuah hospital.