Agong berkenan lancar Pelan Strategik MAIWP 2021-2025

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Titah Diraja secara maya sekali gus melancarkan Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Titah Diraja secara maya sekali gus melancarkan Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan melancarkan Pelan Strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf secara maya menerusi rakaman titah pelancaran.

Menerusi rakaman titah pelancaran itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita kerana tidak dapat hadir ke majlis berkenaan setelah dinasihatkan oleh pakar perubatan untuk beristirehat seketika berikutan keadaan kesihatan Seri Paduka Baginda yang tidak mengizinkan.

"Terlebih dahulu Beta dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) menzahirkan rasa amat dukacita kerana tidak dapat berangkat ke Majlis Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf.

"Sungguhpun demikian, walaupun beta jauh di mata namun hati dan jiwa Beta tetap bersama-sama rakyat yang beta kasihi, khususnya dalam usaha murni untuk menyemarakkan sinar Islam dan membantu mereka yang memerlukan," titah Seri Paduka Baginda.

Rakaman titah pelancaran itu disiarkan pada majlis pelancaran pelan berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Khamis.

Al-Sultan Abdullah turut mendoakan agar Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf itu berjaya mencapai sasaran dan hasrat penubuhannya.

Majlis itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf itu adalah usaha melestarikan sistem penyampaian perkhidmatan dan pengurusan dana zakat serta menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan. - Bernama