[VIDEO] Pengusaha kantin sekolah mohon kenaikan kadar RMT

Kumpulan Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia menyerahkan petisyen kepada Mohamad Sabiq.
Kumpulan Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia menyerahkan petisyen kepada Mohamad Sabiq.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Terhimpit dengan kos kenaikan harga barangan, kumpulan Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah seluruh negara mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan cadangan kenaikan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Wakil solidariti, Rushdi Abdul Majid berkata, kali terakhir harga RMT disemak adalah pada tahun 2015.

"Berdasarkan situasi semasa, kami memohon cadangan penyelarasan kenaikan harga RMT di semua negeri kerana kos bahan mentah yang meningkat sehingga 70 peratus," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan petisyen kepada KPM, dekat sini pada Khamis.

Menurutnya, harga semasa RMT di Semenanjung Malaysia adalah RM2.50 manakala RM3 di Sabah dan Sarawak.

"Kita cadangkan harga RMT disemak kepada RM4.50 di Semenanjung dan RM6 bagi Sabah serta Sarawak," katanya.

Beliau berkata, tindakan pihaknya menghantar petisyen tersebut adalah wajar kerana pengusaha kantin sekolah bergelut dengan kerugian.

"Sudah dua kali gaji minimum dilaksanakan iaitu RM1,200 dan RM1,500 tetapi harga RMT masih kekal sebegitu," katanya.

Rushdi berkata, cadangan kenaikan harga tersebut bukan secara semberono sebaliknya bagi menyelamatkan pengoperasian kantin sekolah.

"Terdapat lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara dan 45 peratus daripadanya telah gulung tikar," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa kantin sekolah terpaksa menghentikan pengoperasian kerana tidak lagi mampu menanggung kerugian.

"Kita tidak mahu banyak lagi kantin sekolah yang akan mengalami nasib sama jadi kami berharap agar KPM segera mengambil tindakan," katanya.

Selain harga RMT, kumpulan solidariti itu turut meminta penjelasan dan penyelesaian KPM terhadap tujuh isu yang lain.

Antaranya, memohon penambahan lanjutan kontrak selama dua tahun lagi tanpa tender terbuka kepada kesemua pengusaha kantin yang kontraknya bermula tahun 2019 dan berakhir pada 2022.

"Mereka menanggung kerugian besar ketika pandemik Covid-19 melanda yang mana sekolah ditutup sepenuhnya dan tidak beroperasi sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Ujar Rushdi, kaedah tersebut boleh diguna pakai kepada semua caretaker yang sanggup mengambil alih dari pengusaha sebelumnya.

Kumpulan itu turut memohon kuota dalam urusan dasar berkaitan kantin sekolah.

"Ini bagi membantu pihak kementerian mendapat gambaran lebih jelas mengenai situasi kantin sekolah," katanya.

Rushdi sebelum itu bersama empat ahli kumpulan solidariti menyerahkan petisyen tersebut kepada Pegawai Khas kepada Menteri Kanan Pendidikan, Mohamad Sabiq Aiman Azhar untuk pertimbangan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.