Jangan bawa suar tengok bola

Penyokong diingatkan agar tidak membawa barangan terlarang termasuk suar ketika menyaksikan pertemuan antara Negeri Sembilan dan Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Sabtu ini. (Gambar kecil) Ruslan Khalid
Penyokong diingatkan agar tidak membawa barangan terlarang termasuk suar ketika menyaksikan pertemuan antara Negeri Sembilan dan Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Sabtu ini. (Gambar kecil) Ruslan Khalid
A
A
A

SEREMBAN - Polis mengingatkan penyokong bola sepak agar tidak membawa barang terlarang terutama suar dan senjata berbahaya ketika perlawanan Negeri Sembilan menentang Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Sabtu ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, penyokong pasukan sepatutnya menjaga tingkah laku ketika menonton perlawanan berkenaan.

"Saya nak ingatkan peminat, kalau nak bagi sokongan kepada pasukan jangan menggunakan suar.

"Objektif kita nak bagi semangat pada pasukan dan saya tak nampak menggunakan suar boleh menaikkan semangat pasukan, ia menyalahi undang-undang," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Kontinjen(IPK) Polis Negeri Sembilan pada Khamis.

Menurutnya, dalam perlawanan antara Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) 11 Mei lalu, tiga lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun ditahan selepas didapati berkumpul dan membakar sebatang bahan api disyaki suar.

Ujarnya, ketika polis hendak menjalankan pemeriksaan, beberapa lelaki telah bertindak agresif serta menendang anggota polis yang ingin menjalankan pemeriksaan.

"Kesemua mereka telah pun dituduh di mahkamah pada 13 Mei dan dijatuhkan hukuman denda RM1,500 dan penjara dua bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 152 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, kes masih dalam perbicaraan dan kes akan disebut semula pada 4 Julai," katanya.

Justeru, masyarakat khususnya peminat bola sepak dinasihatkan mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.