Giliran Granovskaia lepaskan jawatan di Stamford Bridge

Marina Granovskaia
Marina Granovskaia
A
A
A

PENGARAH Chelsea, Marina Granovskaia akan melepaskan jawatannya selepas berakhir jendela perpindahan pemain musim ini, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ketika rombakan besar-besaran di Stamford Bridge berterusan berikutan pengambilalihan diketuai Todd Boehly.

Pemilik bersama baharu Boehly akan menggantikan pengerusi Bruce Buck sebagai pengerusi lembaga pengarah dan mengambil alih sebagai pengarah sukan sementara sehingga kelab itu menamakan pengganti baharu, jelas kelab itu lagi.

Pemergian Granovskaia juga berikutan pengerusi Bruce Buck, yang akan menjadi penasihat kanan kelab utara London tersebut selepas 30 Jun ini.

"Kami berterima kasih kepada Marina Granovskaia atas perkhidmatan cemerlangnya selama bertahun-tahun kepada kelab bola sepak Chelsea dan mendoakan yang terbaik untuknya pada masa depan," kata Boehly dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Granovskaia yang juga eksekutif perniagaan Rusia-Kanada, telah berkhidmat di Chelsea sejak 2003, dilantik ke lembaga pengarah pada 2013, mengambil alih tanggungjawab perpindahan pemain dan rundingan kontrak di bawah bekas pemilik Roman Abramovich.

Kumpulan diketuai Boehly dan Clearlake Capital membeli Chelsea pada Mei selepas Abramovich meletakkan kelab itu untuk dijual berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Ketua Clearlake, Behdad Eghbali dan Jose Feliciano, pemilik bersama Los Angeles Dodgers, Mark Walter; jutawan Switzerland Hansjorg Wyss dan pelabur hartanah Britain, Jonathan Goldstein adalah antara yang ditambah ke dalam lembaga pengarah Chelsea.

"Sebagai penjaga Chelsea FC, kami kini mula melaksanakan visi dan rancangan jangka panjang, mencipta pengalaman luar biasa untuk para penyokong dan terus mencabar kejuaraan sejajar sejarah Chelsea FC," kata Boehly.