Lelaki tikam isteri, ibu mentua hingga parah

Akibat perselisihan faham, seorang wanita dan ibunya cedera ditikam suami sendiri dalam kejadian di Cabang Empat, Tumpat, pada Selasa. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Akibat perselisihan faham, seorang wanita dan ibunya cedera ditikam suami sendiri dalam kejadian di Cabang Empat, Tumpat, pada Selasa. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki bertindak di luar batasan apabila sanggup menikam isteri dan ibu mentuanya menggunakan dua bilah pisau sehingga parah dalam kejadian di Cabang Empat di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.35 petang.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara suspek dan isterinya.

"Susulan itu, mangsa yang berusia 20-an dan ibunya, 60-an telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu di sini untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal doktor yang dilakukan ke atas wanita berusia 20-an itu mendapati mangsa mengalami keretakan dan luka di bahagian kepala selain patah dua jari serta di beberapa bahagian anggota badan.

Katanya, ibu kepada wanita berkenaan pula mengalami luka di bahagian kepala akibat ditikam oleh suspek.

Amran berkata, semakan awal mendapati suspek yang berusia 20-an mempunyai tiga rekod lampau berkait dadah.

"Suspek berjaya ditangkap selepas cuba membunuh diri di sebuah tapak pembinaan di Kampung Sireh di sini, pada Rabu.

"Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan," katanya.