Pembantu Belia dan Sukan Setiu maut kemalangan

Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan. - Foto PDRM
Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan. - Foto PDRM
A
A
A

BACHOK - Seorang pembantu Pejabat Belia dan Sukan, Setiu, Terengganu maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Teratak Pulai, di sini, pada Selasa.

Kejadian yang berlaku pada jam 4 petang itu menyebabkan mangsa, Mohd Azhar Awang, 36, meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu, pada jam 5.01 petang.

Pemandu kereta Honda Prelude, lelaki berusia 57 tahun pula luka di bahagian lutut kaki sebelah kanan manakala isterinya, 31, penumpang hadapan kereta itu tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu pengawal keselamatan itu dalam perjalanan dari Kota Bharu hendak pulang ke rumah di Pasir Putih.

“Apabila sampai di laluan selekoh di Jalan Teratak Pulai, Bachok, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal jenis Benelli TRK yang ditunggang mangsa.

“Rempuhan secara berhadapan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan sebelah kanan manakala penunggang motosikal melambung jatuh ke bahu jalan sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Rabu.

Menurut beliau, penunggang motosikal terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital USM Kubang Kerian namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan hospital.

“Hasil saringan awal air kencing ke atas pemandu kereta terbabit didapati negatif dadah,” ujarnya siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.