Perak tangani kenaikan harga barang melalui kedai bergerak

Kerajaan negeri akan menambah bilangan dan kekerapan jualan Kedai Bergerak Negeri Perak bagi membantu menangani kenaikan harga barang susulan pemansuhan subsidi barangan oleh kerajaan. - Foto pembaca
Kerajaan negeri akan menambah bilangan dan kekerapan jualan Kedai Bergerak Negeri Perak bagi membantu menangani kenaikan harga barang susulan pemansuhan subsidi barangan oleh kerajaan. - Foto pembaca
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengambil inisiatif untuk membantu rakyat dalam menangani kenaikan harga barang menerusi Kedai Bergerak Negeri Perak kendalian Yayasan Bina Upaya (YBU).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedai bergerak yang menjual barang-barang keperluan lebih rendah daripada harga pasaran akan ditambah dari segi kuantiti kenderaan dan kekerapan jualan di seluruh daerah di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berbincang dengan YBU untuk merealisasikan perkara tersebut memandangkan jualan kedai bergerak itu mendapat permintaan menggalakkan daripada rakyat.

"Kita menyediakan perkhidmatan kedai bergerak yang turun dari satu lokasi ke satu lokasi untuk menjual barang pada harga yang jauh lebih rendah. Ada yang lima peratus, 10 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan ia memang satu program yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.

"Malahan ramai rakyat minta supaya YBU yang menerajui program ini untuk memperbanyakkan lagi lokasi yang akan kita turun, bukan sahaja memperbanyakkan lokasi tetapi memperbanyakkan kekerapan," katanya kepada pemberita selepas Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) dan Veteran UMNO di Dewan Serbaguna Laman Seri Ridzuan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan kerajaan memansuhkan subsidi barangan seperti ayam dan minyak masak yang dijangka meningkatkan harga barang-barang keperluan.

Menerusi Kedai Bergerak Negeri Perak, ayam segar dijual pada harga RM4 hingga RM10 seekor selain barang-barang keperluan lain seperti minyak masak, tepung gandum, gula dan beras pada harga lebih rendah.

Operasi kedai bergerak tersebut bermula jam 9 pagi hingga 3 petang di setiap lokasi terpilih setiap hari di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mulai 1 Julai depan, kerajaan tidak lagi membuat kawalan harga siling ayam, telur ayam serta memansuhkan subsidi minyak masak botol bagi isipadu dua, tiga dan lima kilogram.