Harga siling minyak masak dimansuhkan

Harga siling minyak minyak masak tulen bagi pek kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) dimansuhkan dan tidak diteruskan mulai 1 Julai ini. - Gambar hiasan
Harga siling minyak minyak masak tulen bagi pek kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) dimansuhkan dan tidak diteruskan mulai 1 Julai ini. - Gambar hiasan
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Selepas subsidi ayam dan telur ayam diumumkan akan berakhir hujung bulan ini, kerajaan turut memansuhkan harga siling minyak minyak masak tulen bagi pek kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) bermula 1 Julai.

Bagaimanapun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga siling minyak masak tulen bagi pek polibeg 1kg kekal pada harga RM2.50.

"Subsidi bagi pek 2kg, 3kg dan 5kg ini sebenarnya diperkenalkan secara sementara pada Ogos tahun lalu selama tiga bulan tetapi ia dilanjutkan sehingga kini," katanya.

Menurutnya, kerajaan terpaksa menanggung RM20 juta sebulan selepas subsidi minyak masak tulen 2kg, 3kg dan 5kg diperkenalkan.

"Kerajaan rasa sudah tiba ia dimasuhkan dan digantikan dengan bantuan wang tunai secara bersasar yang akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)," katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi dialog bersama pemain industri, persatuan pengguna, ahli akademik dan ketua pengarang media di kementeriannya, pada Selasa.

Harga minyak sawit tulen dalam kemasan botol 2kg dijual pada harga RM12.70, 3kg (RM18.70) dan 5kg (RM29.70) diperkenalkan sejak 1 Ogos tahun lalu bagi menjamin pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 untuk botol lima kilogram (kg).

Pada 16 Jun lalu, kerajaan mengumumkan harga ayam akan diapungkan berikutan skim harga maksimum runcit ayam yang berakhir bulan ini tidak dilanjutkan.

Harga siling ayam standard (diproses dan dijual dengan kepala, kaki dan organ) ditetapkan pada RM8.90 sekilogram manakala harga maksimum bagi ayam super adalah RM9.90 sekilogram.

Sementara, harga siling bagi telur, gred A, B dan C, yang telah ditetapkan masing-masing pada RM0.43, RM0.41 dan RM0.39 sebiji.

Mengulas mengenai tempoh kritikal sebelum subsidi dan skim harga runcit yang berakhir 30 Jun ini, Alexander memberi amaran tegas kepada industri yang cuba membuat onar dengan menyorokkan bekalan.

"Kita sedari kemungkinan ini dan kementerian telah pun memantau namun kami lebih suka sekiranya aduan yang dibuat orang ramai lebih tepat agar penguatkuasa KPDNHEP boleh mengambil tindakan segera," katanya.

Ditanya adakah harga ayam akan meningkat sehingga RM12 sekilogram, Alexander berkata, pihak industri telah memaklumkan kenaikan hanyalah sekitar lebih RM10 sahaja bagi setiap kilogram

"Persatuan yang datang tadi mengatakan tidak akan sampai lebih ke situ. Dia kata lebih RM10 sikit...Saya harap sebegitu," katanya.

Menurutnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) boleh diambil terhadap pihak yang terbabit.

"Kita tidak tahu berapa peratus kenaikan sebab diapungkan, biarlah pasaran yang tentukan. Tadi saya tekankan kepada mereka boleh naik tapi jangan terlalu tinggi," katanya.

Ujarnya dalam sesi dialog tersebut, pihak industri menyatakan komitmen untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam memastikan pengguna mendapat harga dan bekalan barangan keperluan khususnya ayam dengan harga yang berpatutan dan stabil.

Selain itu katanya, industri turut menyuarakan keluhan berikutan kesukaran untuk mendapatkan pekerja tempatan di ladang ternakan walaupun ditawarkan gaji yang tinggi.

"Hendak dapatkan pekerja asing pun sukar kerana mereka memilih untuk bekerja di sektor perladangan sawit.

Industri terbeban terbeban untuk menguruskan pengoperasian mereka dan akhirnya terpaksa meningkatkan harga barangan yang dijual," katanya.