Pekerja kedai makan maut motosikal rempuh kereta

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di simpang tiga Kempadang Makmur,Jalan Tanjung Lumpur di sini pada Rabu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di simpang tiga Kempadang Makmur,Jalan Tanjung Lumpur di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang tiga Kempadang Makmur, Jalan Tanjung Lumpur dekat sini pada Rabu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Che Mohamad Nasrullah Che Mohamad Kuning Manja, 20, dari Felda Neram, Kemaman, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Noor Syazwani Abdul Rahim, 22, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika pelajar perempuan yang memandu kereta jenis Perodua Viva itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Taman Kempadang Makmur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut membelok untuk masuk simpang di sebelah kanan. Bagaimanapun mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kereta terbabit.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.