Syahredzan dilantik wakili Parlimen Bangi

Ong Kian Ming (tiga dari kanan) melantik Syahredzan (dua dari kanan) mewakili beliau di kawasan Bangi bagi membantu menangani isu yang dihadapi penduduk dan pengundi di kawasan tersebut.
Ong Kian Ming (tiga dari kanan) melantik Syahredzan (dua dari kanan) mewakili beliau di kawasan Bangi bagi membantu menangani isu yang dihadapi penduduk dan pengundi di kawasan tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming pada Rabu melantik Setiausaha Politik, Lim Kit Siang, Syahredzan Johan mewakili beliau di kawasan Bangi.

Menerusi hantaran di Twitter miliknya, Kian Ming berkata, pelantikan tersebut bertujuan bagi membantu beliau menangani isu yang dihadapi penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan yang mencecah 300,000 orang.

“Saya melantik @syahredzan sebagai wakil saya di P102 Bangi untuk membantu saya dengan isu yang dihadapi oleh penduduk dan pengundi di kawasan ini yang telah mencecah 300,000 pengundi.

“Selamat datang ke kawasan Parlimen Bangi kepada twetfemes!” ciapnya di Twitter pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bangi tersebut mengumumkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Kian Ming yang menjadi ahli Parlimen selama dua penggal berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pemimpin muda lain dalam DAP untuk bertanding mewakili parti itu sebagai calon.