20 bekas pelajar sekolah asrama penuh mengaku salah cederakan rakan

Antara bekas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh yang hadir ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Rabu untuk pendakwaan.
Antara bekas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh yang hadir ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Rabu untuk pendakwaan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 20 bekas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Merbok mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini menyebabkan kecederaan terhadap bekas rakan sekolah mereka dua tahun lalu.

Kesemua tertuduh berusia antara 18 dan 19 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim dalam prosiding tertutup berikutan permintaan daripada keluarga tertuduh.

Mengikut pertuduhan, seramai 10 daripada bekas pelajar itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang bekas pelajar berusia 16 tahun di dalam kawasan asrama pada jam lebih kurang 12.30 tengah malam, 27 Oktober 2020.

Seramai 10 lagi pelajar pula didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada jam 2 pagi, hari yang sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara sengaja yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Nurliyana Mohd Radzi.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak selain membenarkan kesemua bekas pelajar itu dijamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, laporan polis diterima berhubung kejadian pada 28 Oktober 2020 yang mana mangsa mendakwa dipukul sekumpulan pelajar asrama pada dua waktu berbeza.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dimaklumkan rakan asrama bahawa pelajar senior ingin berbincang sesuatu dengannya di tingkat bawah bangunan asrama itu pada jam 12.30 tengah malam.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di tingkat bawah, dia disambut oleh sekumpulan 10 pelajar senior tingkatan lima yang kemudian menyerangnya.

"Mangsa mendakwa, kira-kira jam 2 pagi sama, dia diminta berjumpa dengan sekumpulan lagi 10 rakan pelajar tingkatan empat sebelum dipukul," katanya dalam kenyataan pada Rabu

Difahamkan, tindakan itu dilakukan dipercayai akibat tidak berpuas hati kepada mangsa yang telah mengarahkan kesemua pelajar mengosongkan padang bola selepas waktu riadah.

Akibat itu, mangsa mengalami lebam pada seluruh badan.