Tahanan maut ketika terima rawatan di hospital

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang tahanan lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, Orang Kena Tahan (OKT) tersebut sebelum ini ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam sebelum dibawa menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam kira-kira jam 5.40 petang.

"OKT itu cuba menggantungkan diri di lokap tersebut dan telah diselamatkan serta dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.

"Dia telah dirawat di hospital Shah Alam mulai 15 Jun 2022, namun pada 20 Jun kira-kira jam 5.40 petang pegawai perubatan telah mengesahkan bahawa OKT itu telah meninggal dunia di hospital tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Iqbal berkata, punca kematian OKT bagaimanapun belum diketahui.

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes ini," katanya.

Ujar Iqbal, OKT tersebut ditangkap pada 15 Jun lalu dan ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam.

"OKT tersebut ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK)," katanya.