Measat-3d pelengkap usaha telco sedia jalur lebar kelajuan tinggi

Measat - Gambar hiasan/ Measat
Measat - Gambar hiasan/ Measat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satelit Measat-3d yang dijadual dilancarkan pada Khamis, akan melengkapkan lagi usaha syarikat telekomunikasi (telco) tempatan sedia ada menyediakan perkhidmatan ketersambungan jalur lebar berkelajuan tinggi merentasi seluruh negara, terutama di kawasan pedalaman dan terpencil.

Profesor Adjung Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia Dr Tharek Abd Rahman berkata, ini memandangkan telco memerlukan perbelanjaan tinggi untuk menyediakan kemudahan menara yang diperlukan bagi tujuan sambungan perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman tertentu di negara ini.

"Satelit Measat-3d itu boleh meliputi keseluruhan negara sedangkan telco sedia ada sebaliknya tidak boleh menampung keperluan negara kerana memerlukan kemudahan menara di daratan," katanya kepada Bernama.

Dr Tharek berkata, satelit Measat-3d itu juga adalah lebih khusus bagi tujuan ketersambungan jalur lebar.

"Saya difahamkan bahawa satelit yang bakal dilancarkan ini mempunyai 10 kali kapasiti lebih tinggi berbanding satelit sedia ada.

"Pada masa ini, kerajaan sedang memperluas liputan 4G. Teknologi 4G itu sendiri sudah memadai untuk memberi ketersambungan jalur lebar tetapi untuk membolehkan telco meliputi semua kawasan khususnya di pedalaman akan memerlukan kos amat tinggi. Inilah alasannya mengapa satelit ini diperlukan bagi melengkapkan perkhidmatan mereka," katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Measat Satellite Systems Sdn Bhd (Measat) Yau Chyong Lim berkata, pelancaran satelit itu akan membolehkan syarikat tersebut membantu mewujudkan masyarakat digital yang terangkum atau inklusif serta menyokong aplikasi jalur lebar berkelajuan tinggi seperti Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teleperubatan.

"Menerusi perkhidmatan Measat-3d dan Connectme Now, kami menyasarkan untuk dapat mengisi jurang jalur lebar di lokasi tiada liputan rangkaian mudah alih 4G, 5G atau fiber di Malaysia, bagi menyediakan akses internet kepada penduduk yang terpinggir," katanya.

Chyong Lim berkata, satelit Measat-3d yang akan dilancarkan dari tapak pelancaran European Spaceport di Kourou, French Guiana, akan memastikan pertumbuhan dan kelangsungan perkhidmatan berterusan untuk penyiar terkemuka di dunia serta televisyen satelit Perkhidmatan Langsung Ke Rumah (DTH) kepada lebih 20 juta isi rumah di seluruh Malaysia, Indonesia dan India.

Beliau berkata, satelit bernilai RM1.2 bilion itu yang mempunyai jangka hayat selama 18 tahun, dimiliki oleh Measat -- syarikat tempatan milik penuh rakyat Malaysia, namun keupayaan perkhidmatan Measat-3d sebaliknya lebih luas dan meliputi Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika dan Eropah Selatan.

"Measat-3d akan melengkapkan lagi Measat-3a dan Measat-3b pada 91.5 ° E 'hotslot' yang menyediakan peningkatan dan lebihan kapasiti untuk perkhidmatan DTH Astro selain perkhidmatan penyiaran, telekomunikasi, dan jalur lebar internet," katanya.

Menurut Chyong Lim, Measat turut menyokong penuh aspirasi kerajaan bagi mencapai sasaran 100 peratus akses internet menjelang 2025 di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan juga inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam menghubungkan dan pendigitalan negara.

"Dalam jangka panjang, ini menjanjikan usaha bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia, termasuk mereka yang menetap di kawasan paling terpencil di negara ini," katanya. - Bernama