'Spekulasi pertemuan Azmin hanya rekaan timbulkan keraguan'

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mana-mana pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti dilaporkan sebuah portal berita, baru-baru ini.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor, Muhammad Hilman Hamdan berkata, spekulasi berkenaan direka sebagai strategi jahat untuk menimbulkan keraguan dan kesangsian dalam kalangan anggota Bersatu dan PN terhadap komitmen Mohamed Azmin.

Menurutnya, kenyataan media Mohamed Azmin beberapa hari lalu telah menegaskan bahawa beliau yakin terhadap perjuangan Bersatu sebagai sebuah wadah politik dan akan terus berusaha untuk menyemarakkan idealisme parti itu.

"Beliau dengan tegas dan berprinsip telah menyatakan bahawa akan memberikan tumpuan untuk bersama kepimpinan Bersatu melaksanakan dasar prihatin rakyat, mencerdaskan pemulihan dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang lestari.

"Justeru saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa Mohamed Azmin telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mana-mana pemimpin PKR seperti yang dilaporkan oleh portal media yang dipengaruhi PKR sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu Muhammad Hilman menegaskan, pemimpin dan ahli PKR yang dipecat oleh pemimpin diktator parti itu tidak berminat untuk bersama parti yang mendewakan manusia rakus untuk memelihara kebajikan rakyat.

"Kami akan terus mempertahankan panji-panji Bersatu dan PN demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," tegasnya.