Empat murid sekolah pening kepala, loya terhidu gas penusu bunsen

BOMBA
BOMBA
A
A
A
KUALA LUMPUR - Empat murid Tahun Lima mengalami loya dan pening kepala dipercayai kesan terhidu gas pada penunu bunsen yang bocor ketika menjalankan eksperimen di makmal sebuah sekolah rendah kebangsaan di USJ 14, Subang Jaya, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Selangor Norazam Khamis berkata, susulan kejadian kira-kira 1.20 tengah hari itu, keempat-empat murid tersebut telah dibawa ke Hospital Shah Alam sebelum ketibaan anggotanya dan kesemua mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, pihaknya yang tiba dengan dua jentera telah menjalankan operasi memastikan kawasan sekolah selamat dan pengudaraannya bebas daripada gas berkenaan.

Dalam kejadian berasingan, Norazam berkata, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan akibat letupan gas di sebuah kedai makan di Jalan Bidara, Saujana Utama 3, Sungai Buloh dekat sini 12.30 tengah hari, semalam.

Jelasnya kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak yang menyebabkan letupan dan kebakaran kecil sehingga mengakibatkan 30 peratus premis itu musnah.

Beliau berkata, kebakaran telah dipadamkan sebelum kehadiran bomba dan mangsa yang melecur di bahagian badan dibawa ke Hospital Puncak Alam, bagaimanapun operasi diteruskan dengan memastikan pengudaraan dalam premis tersebut selamat. - Bernama