X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan, TFC II kongsi mata

Pertahanan Kelantan, Mohd Azwan Aripin (kanan) mengekang pemain TFC II, Mohamad Haidhir Suhaini pada pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Premier di Kota Bharu, sebentar tadi.
A
A

KELANTAN sekadar mengutip satu mata setelah terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) II pada pertemuan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

TFC II menampilkan aksi garang sebaik wisel dibunyikan apabila melancarkan serangan tetapi percubaan Dechi Marcel N'Guessan gagal menepati sasaran, seawal minit pertama.

Pelawat terus menguasai permainan dan sekali lagi hampir di depan namun rembatan pemain tengah, Mohd Ramzi Sufian tersasar, pada minit ketujuh.

Selepas dua peluang awal TFC II itu, baharulah tuan rumah berjaya menemui rentak permainan tetapi sepakan separa voli Flavio Beck Junior tinggi melewati palang, seminit kemudian.

Peluang kedua menyusul buat anak buah Marko Kraljevic untuk memecahkan kebuntuan menerusi serangan pantas diilham David Rowley pada minit ke-10 tetapi percubaan jarak dekat Raul Tarragona pula terbias pertahanan lawan di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun penyerang import Uruguay itu yang gagal meledak dalam lima aksi terdahulu berjaya menebus kekecewaan tersebut apabila memanfaatkan tandukan ke belakang Rowley dengan menyepak masuk gol pertamanya musim ini, pada minit ke-19.

Kegembiraan kem tuan rumah bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain tengah TFC II, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle berjaya merembat masuk gol penyamaan untuk mengikat kedudukan, tiga minit selepas itu.

Aksi kemudian kembali dikuasai pelawat yang dibimbing bekas pemain kebangsaan,Tengku Hazman Raja Hassan tetapi dua penggempur import mereka, Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki masih gagal mencari gol tambahan buat mereka.

Sebaliknya tuan rumah terus bersemangat memburu jaringan namun sepakan lencong Nik Azli Nik Alias pada minit ke-35 serong di sebelah kiri gawang sekali gus menutup tirai babak pertama dengan kedudukan kekal 1-1.

Bersambung babak seterusnya tuan rumah terpaksa akur apabila kehilangan penjaga gol, Abdul Arif Abdullah yang diusung keluar akibat bertembung dengan rakannya, pada minit ke-54.

Namun itu tidak menghalang Kelantan untuk terus mencari gol kedua menerusi percubaan deras Mustafa Zazai memaksa Mohd Shamirza Yusoff merebahkan badan menyelamatkan pintu gol TFC II, tiga minit kemudian. Pelawat hampir menggandakan jaringan hasil rembatan padu Suzuki tetapi penjaga gol gantian tuan rumah, Damien Lim berada tepat diposisi menepis bola sebelum terkena palang, pada minit ke-59 disusuli sepakan bebas N'Guessan, 12 minit selepas itu.

Kemasukan pakar hantaran 'gelembung buaya', Mohd Badhri Radzi pada minit ke-72 merancakkan lagi pertemuan malam tadi sekali gus mendapat sorakan hampir 7,600 penyokong setia The Red Warriors.

Lima minit berselang, gerakan menarik Mustafa membolehkan Tarragona membawa masuk bola ke dalam kotak penalti namun hantaran lambungnya gagal disambar Mohd Fauzi Roslan sekali gus terselamat gawang TFC II daripada dibolosi.

Menuju minit ke-86 tandukan Tarragona juga gagal menerjah jaring selepas menerima hantaran lintang Afiq Saludin disusuli Mohd Fauzi turut kempunan menolak masuk, dua minit selepas itu.

Tambahan masa lima minit menyaksikan penguasaan mutlak milik tuan rumah namun usaha keras mereka masih gagal mendapat gol kemenangan sekali gus kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi mata, pada pertemuan ini.