Bekas penyelia tapak dijel, denda RM25,000 terima suapan

Tertuduh (tengah) mengaku bersalah terima suapan Mac tahun lepas.
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah terima suapan Mac tahun lepas.
A
A
A

SEREMBAN- Seorang bekas penyelia tapak dikenakan penjara 14 hari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki pada Mac tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh Mohd Zakiuddin Ridzuan, 38 sebaik dia membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagaimanapun sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, dia boleh dipenjara selama enam bulan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah menerima daripada seorang lelaki untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM5,000 sebagai dorongan untuk tertuduh mengesahkan dokumen.

Dokumen berkenaan adalah Request For Inspection (RFI) yang disediakan oleh sebuah syarikat bagi kerja-kerja pembinaan struktur saliran di Projek Pembangunan Kompleks Sukan Rembau yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat sub kontraktor lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Tampin jam lebih kurang antara 12 tengah hari hingga 2 petang pada 15 Mac tahun lepas.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.