Suspek dera kucing direman tiga hari

Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penderaan terhadap haiwan.
Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penderaan terhadap haiwan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki dikenakan perintah reman di Mahkamah Majistret 2 Sungai Petani bagi membantu siasatan kes penderaan terhadap haiwan dalam kejadian di Semeling pada Sabtu.

Permohonan reman dibenarkan Majistret Noor Fazlina Musa selama tiga hari ke atas lelaki berusia 27 tahun itu yang bermula pada Selasa.

Lelaki terbabit yang memakai baju-T warna merah dan berseluar panjang dilihat tenang ketika diiringi anggota polis.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, suspek didakwa bertindak keterlaluan dengan cara menendang dan membaling batu ke arah binatang berkenaan.

Kejadian yang berlaku di hadapan sebuah premis kedai di Semeling, Kedah pada jam kira-kira 1.09 pagi itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dalam kenyataan sebelum ini berkata, polis menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap kucing di hadapan premis tempat kerjanya.

Menurut Zaidy, susulan itu, satu tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun di rumahnya dekat Kampung Pengkalan Merbok, Bujang pada jam 1.29 petang Isnin.

Zaidy berkata, hasil soal siasat awal dijalankan mendapati suspek mendakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, video tular menunjukkan tindakan seorang lelaki yang didakwa menendang dan membaling objek dipercayai batu kepada kucing di kaki lima premis kedai bangunan tersebut, mendapat reaksi pengguna media sosial.

Susulan kejadian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah telah bertindak menyelamatkan kucing tersebut seterusnya dibawa untuk rawatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap haiwan.

Kes juga disiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Veterinar).