Jokowi berkempen guna hologram

Jadual yang padat menyebabkan Jokowi menggunakan hologram untuk berkempen.
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi telah mula menggunakan hologram untuk menjangkau pengundi menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada bulan depan.

Jadual yang padat menyebabkan Jokowi dan pasangan regunya, Ma'ruf Amin memilih hologram menampilkan imej tiga dimensi (3D) saiz sebenar mereka untuk berkempen di beberapa lokasi di wilayah padat penduduk di Jawa Tengah, Barat dan Timur yang dilihat sebagai sumber sokongan utama kepada beliau.

Pemimpin berusia 57 tahun itu menjadi ahli politik pertama di negara itu yang menggunakan hologram walaupun ia telah digunakan rakan sejawatannya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan ahli politik berhaluan kiri di Perancis sebelum ini.

Tinjauan terbaharu menunjukkan Jokowi dan Amin mendahului pesaing mereka, bekas jeneral, Prabowo Subianto dan pasangan regunya, Sandiaga Uno.

Jokowi pernah menewaskan Subianto dalam pilihan raya pada 2014.

Lebih 190 juta penduduk mendaftar untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 17 April depan dengan ribuan calon bertanding untuk merebut kerusi di Parlimen dan majlis tempatan seluruh negara. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia