Empat sektor pulih pada tahap sebelum pandemik: JobStreet

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEBANYAK empat industri telah pulih kepada tahap sebelum pandemik atau lebih tinggi, berdasarkan jumlah peluang pekerjaan yang disiarkan dan permohonan yang diterima dalam platform pekerjaan dalam talian, JobStreet.

Menurut Laporan Prospek Pekerjaan 2022 (Malaysia) JobStreet, empat industri itu ialah semikonduktor dan fabrikasi wafer, elektrik dan elektronik (E&E), komputer dan teknologi maklumat (IT) (perisian) serta pengangkutan dan logistik.

"Permintaan terhadap semikonduktor meningkat dengan kukuh pada tahun lepas berikutan transformasi digital akibat pandemik dan kekurangan dalam industri automotif dengan kira-kira 70 peratus daripada iklan pekerjaan untuk industri semikonduktor dan fabrikasi wafer adalah untuk pengkhususan kejuruteraan dan pembuatan, dengan majoriti 55 peratus daripada iklan pekerjaan dari Pulau Pinang.

"Industri E&E kekal berdaya tahan dalam memacu pertumbuhan sektor penjagaan kesihatan, automotif dan runcit.

"Jawatan berkaitan kejuruteraan menyumbang paling banyak iklan pekerjaan industri sebanyak 35.8 peratus, dengan Pulau Pinang sekali lagi menyumbang 50 peratus daripada iklan pekerjaan, diikuti Selangor sebanyak 23 peratus,” menurut laporan itu.

Ia turut mendedahkan bahawa pertumbuhan dari segi jumlah paparan kerja dan permohonan dalam industri perisian-IT mencerminkan kekurangan tenaga kerja IT di peringkat global, menunjukkan majikan perlu menarik pekerja dengan pampasan, faedah dan aturan kerja yang lebih baik.

Sementara itu, peningkatan membeli-belah dalam talian telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dalam syarikat logistik dan sektor logistik pihak ketiga.

"Industri lain yang menunjukkan pemulihan secara berperingkat dan stabil termasuklah penjagaan kesihatan dan perubatan, pembuatan dan pengeluaran, makanan dan minuman, runcit dan barangan, pembinaan dan kejuruteraan serta perbankan dan kewangan,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, aktiviti pengambilan pekerja meningkat dengan lebih ramai telah menerima vaksin sepenuhnya, selain kelonggaran sekatan pergerakan.

Kebanyakan industri, katanya, 55 daripada 60, menyaksikan peningkatan paparan iklan pekerjaan pada suku keempat 2021.

Sementara itu, Pengarah Operasi JobStreet Malaysia Ashwin Jeyapalasingam berkata, empat industri ini mencatatkan pemulihan dan pertumbuhan yang kukuh terutamanya berikutan inisiatif transformasi digital yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi. -Bernama