Kajian tingkatkan elaun pelajar Mara di UK dibentang masa terdekat

Mahdzir ketika berucap merasmikan mesyuarat PIBG di SMK Datuk Syed Ahmad di Kuala Nerang pada Isnin.
Mahdzir ketika berucap merasmikan mesyuarat PIBG di SMK Datuk Syed Ahmad di Kuala Nerang pada Isnin.
A
A
A
KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang menyediakan kertas kerja berhubung keperluan untuk menambah kadar elaun sara hidup pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di United Kingdom (UK).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya kini dalam proses menyiapkan kertas kerja terbabit selepas menerima aduan daripada pelajar terlibat berhubung kos sara hidup di negara itu yang semakin meningkat.

Menurutnya, perkara itu akan dibentangkan kepada kerajaan dalam masa terdekat selepas kajian mengenai kewajaran menaikkan kadar elaun dilengkapkan.

"Saya ada berjumpa dengan pelajar tajaan Mara yang mohon supaya elaun kehidupan harian mereka ditambah sikit kerana kos sara hidup di UK semakin meningkat, terutama membabitkan utiliti seperti bekalan elektrik, air, gas, pengangkutan awam dan juga sewa rumah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil lawatan kerja ke UK selama tujuh hari pada minggu lalu.

Mahdzir berkata, kertas kerja terbabit akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk Kementerian Kewangan.

Pada Selasa lalu, KPLB dalam kenyataannya memaklumkan, memorandum berkaitan peningkatan kos sara hidup pelajar tajaan Mara di UK akan diteliti.

Mahdzir ketika itu turut menerima memorandum yang disediakan Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland daripada Pengerusinya, Muhammad Iman Irfan Yahya di London ketika membuat lawatan kerja ke UK bermula Jumaat lepas.

Memorandum berkenaan disediakan menerusi satu kajian yang dilaksanakan oleh Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland membabitkan 400 pelajar tajaan MARA dan agensi lain sebagai responden.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahdzir turut memaklumkan KPLB mengadakan pertemuan dengan beberapa institusi di negara terbabit yang memiliki kepakaran teknikal.

“Perbincangan diadakan bersama badan pelesenan antarabangsa berpangkalan di UK, Institute of Railway Signal Engineers (IRSE) berkaitan sistem kawalan isyarat pengangkutan rel.

"Kita ada fakulti berkaitan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan bersedia menjalin kerjasama,” katanya.

Menurutnya, kolaborasi itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama wakil IRSE ketika di UK.

“Selain itu, kita turut bercadang untuk adakan kolaborasi UniKL dalam bidang aeroangkasa.

"Saya harap kita dapat panjangkan kolaborasi itu untuk pertingkatkan lagi kualiti UniKL dan sebagai penambahan kepada kebolehan graduan terbabit,” katanya.